KUALA LUMPUR: Sebahagian tanah rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimiliki puluhan hingga ratusan individu berdaftar sebagai pemilik bersama termasuk tanah pusaka yang diwarisi sejak generasi terdahulu sekali gus menyukarkan proses pembangunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, situasi itu menyebabkan tanah rizab Melayu terutama berbentuk pusaka sukar diurus untuk pembangunan semula kerana sebarang persetujuan memerlukan persetujuan semua pemilik.
“Dalam sesetengah kes, satu lot tanah berkeluasan 8,700 kaki persegi merekodkan sehingga 256 pemilik berdaftar.
“Sekiranya seorang sahaja pemilik tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan, keseluruhan urus niaga boleh tergendala,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai cabaran pembangunan tanah rizab Melayu seperti di Kampung Bharu yang turut melibatkan isu pemilikan bertindih dan nilai pasaran terhad.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, nilai tanah rizab Melayu masa hadapan terhad kerana sekatan kepentingan yang melarang pindah milik kepada bukan Melayu.
Katanya, sekatan ini mengurangkan minat pelabur dan permintaan pasaran terhadap hartanah yang dibangunkan.
“Walaupun banyak tanah rizab Melayu terletak di lokasi strategik seperti Sungai Penchala, kos pembangunan yang tinggi menjadi halangan kepada pelabur.
“Cabaran lain adalah menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pemeliharaan nilai warisan budaya. Kampung tradisi Melayu yang kaya dengan sejarah, adat dan identiti komuniti perlu dikekalkan agar pembangunan tidak menghakis nilai asal masyarakat Melayu bandar,” katanya.
Dr. Zaliha berkata, pembangunan tanah rizab Melayu mesti dilaksanakan secara lestari dan inklusif dengan pendekatan menyeluruh yang sensitif terhadap aspek budaya, ekonomi dan undang-undang.
“Selain itu, pelaksanaannya perlu melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus dan berterusan.
“Pendekatan sebegini penting untuk memastikan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan warisan bangsa demi kepentingan masyarakat Melayu keseluruhannya,” katanya.
Tambah beliau, status Kampung Bharu berbeza dengan Tanah Rizab Melayu biasa kerana ia merupakan kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang diwartakan sejak 12 Januari 1900.
“Ramai yang masih keliru dan menyangka Kampung Baru adalah tanah Rizab Melayu. Kawasan Kampung Bharu diwartakan menggunakan peruntukan Seksyen 6, Enakmen Tanah 1897 melalui Kaedah-Kaedah M.A.S (Kuala Lumpur) 1950 dan tidak tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu.
“Tanah di Kampung Bharu mempunyai sekatan kepentingan yang melarang orang bukan Melayu memiliki atau menghuni kawasan ini. Setiap hak milik tanah juga disertakan dengan endorsan atau sekatan M.A.S,” katanya.
Beliau berkata, berbeza dengan Tanah Rizab Melayu lain di Kuala Lumpur yang tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu [F.M.S Cap 142], sebagaimana diterapkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah (Ubahsuaian Enakmen Rizab Melayu) Wilayah Persekutuan 1974 [P.U.(A) 60/1974].
“Enakmen ini menetapkan Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki, dipindah milik, atau dipajakkan kepada orang Melayu sahaja.
“Pemahaman mengenai status undang-undang Kampong Bharu penting untuk membimbing sebarang rancangan pembangunan dan memastikan pematuhan terhadap sekatan yang telah ditetapkan sejak awal penubuhan kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN










