KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan prinsip rundingan secara menyeluruh atau maximum consultation dalam pengisian jawatan pengetua dan guru besar di sekolah mubaligh yang tergolong dalam kategori sekolah menengah conforming.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, prinsip tersebut menetapkan sebarang pelantikan akan dibuat melalui rundingan bersama antara Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM bagi memastikan calon yang sesuai dapat dilantik serta ditempatkan di sekolah berkenaan.
Katanya, Institut Aminuddin Baki pada tahun ini telah memperuntukkan sebanyak 1,652 slot Program Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Pemimpin Pendidikan (NPQEL) yang menjadikannya jumlah tertinggi sejak 2021.
“Bagi memastikan proses pelantikan berjalan lancar, LPS perlu memastikan calon yang ingin dihantar mengikuti program NPQEL benar-benar bersedia termasuk memenuhi syarat pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun dalam bidang pentadbiran serta keperluan am dan khas ditetapkan.
“KPM bersedia menyediakan jumlah slot latihan NPQEL yang mencukupi. Namun pada masa sama, KPM memerlukan calon berpotensi dikemukakan oleh LPS bagi tujuan latihan dan pelantikan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) yang ingin mengetahui langkah KPM dalam menyelesaikan kekurangan pengetua di sekolah bantuan kerajaan seperti sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh susulan syarat pelantikan yang disifatkan agak ketat.
Menurut beliau, daripada 122 sekolah menengah mubaligh di seluruh negara, enam sekolah masih berdepan kekosongan jawatan pengetua iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, SMK St. David, SMK (Perempuan) Methodist, SMK Convent, SMK Convent Selangor dan SMK Convent Father Barre di Kedah.
“Daripada jumlah itu, tiga sekolah telah mempunyai calon yang sama ada sedang memangku atau akan menamatkan program NPQEL tahun ini, manakala tiga lagi sekolah masih belum mempunyai calon.
“Di sinilah pentingnya komitmen serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan wujudnya pelapis apabila berlaku kekosongan,” katanya. – UTUSAN










