KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi memastikan bekas isteri dan anak-anak tidak terus terjejas akibat kegagalan pembayaran nafkah oleh bekas suami.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara langkah utama ialah penyediaan pendahuluan nafkah sebagai bantuan kewangan sementara kepada pemiutang penghakiman sementara tunggakan nafkah diselesaikan melalui prosiding Mahkamah Syariah.
“Pendahuluan nafkah ini dibiayai melalui Kumpulan Wang Amanah Sokongan Keluarga JKSM, manakala di peringkat negeri, ia disalurkan menggunakan dana Persekutuan yang dimasukkan ke Akaun Amanah BSK Seksyen Negeri.
“Dana berkenaan akan dikutip semula daripada penghutang setelah tunggakan dibayar bagi menjamin kesinambungan skim,” katanya menjawab soalan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN–Jerlun) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, bagi pemiutang penghakiman yang benar-benar tidak berkemampuan dan dikategorikan sebagai asnaf fakir atau miskin, bantuan nafkah tanpa kutipan balik turut disediakan melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
“Pihak JKSM juga menyalurkan peruntukan tambahan melalui konsep matching grant sekiranya terdapat sumbangan daripada MAIN.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan kemudahan transit melalui BSK bagi menanggung sepenuhnya kos penginapan, makan minum dan pengangkutan untuk pemiutang yang perlu hadir ke prosiding Mahkamah Syariah.
Menurut Mohd Na’im, dari sudut jangka panjang, kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah melalui pelbagai kaedah undang-undang serta kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PERKESO dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan majikan serta lokasi terkini penghutang.
“BSK juga giat melaksanakan kempen kesedaran kepada para penanggung nafkah, termasuk waris lain yang berkewajipan di sisi undang-undang dan hukum syarak, bagi memastikan tanggungjawab mereka dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan bersepadu itu menjadikan BSK sebagai mekanisme penting dalam menjaga kebajikan wanita dan anak-anak, di samping memperkukuh sistem kehakiman syariah serta menjamin kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam di negara ini. -UTUSAN










