PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM650 juta yang disalurkan buat Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bakal memperluas akses latihan kemahiran kepada lebih ramai belia di seluruh negara.
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan RM7.9 bilion kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.
Presien Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, peningkatan dana itu bukan sekadar angka baharu dalam belanjawan tetapi merupakan isyarat jelas bahawa kerajaan serius memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Peningkatan dana ini menunjukkan kerajaan serius memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tulang belakang kepada agenda Dasar TVET Negara 2030, Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR) termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dana tersebut juga mampu melonjakkan sektor strategik seperti automotif elektrik, tenaga boleh baharu, automasi industri dan kecerdasan buatan yang kini menjadi pemacu utama ekonomi negara.
Rizan menegaskan keseluruhan RM650 juta itu sebaiknya digunakan sepenuhnya bagi tujuan pemberian pinjaman latihan kemahiran dan tidak dikongsikan dengan mana-mana program berbentuk geran.
“Dana ini perlu kekal dengan mandat asal PTPK iaitu membantu belia B40, M40 dan lepasan sekolah yang tidak berpeluang memasuki institusi latihan kemahiran awam.
“Ini penting kerana ia memberi akses meluas kepada golongan belia yang sebelum ini terpinggir daripada sistem geran latihan, sekali gus memastikan tiada kumpulan muda tercicir daripada peluang meningkatkan kemahiran serta pendapatan.
“Ini juga akan merapatkan jurang antara institusi awam dan swasta serta mewujudkan ekosistem TVET yang lebih inklusif dan adil,” ujarnya.
Pihaknya turut menekankan keperluan penyelarasan, pemantauan berasaskan hasil serta ketelusan agihan dana agar setiap ringgit benar-benar sampai kepada pelatih dan pusat latihan yang layak.
“RM650 juta untuk PTPK bukan sekadar peruntukan tetapi amanah besar untuk membina masa depan generasi pekerja mahir Malaysia di kalangan belia,” katanya. – UTUSAN










