PETALING JAYA: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah meletakkan jawatan mereka dalam parti itu.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Majlis Tertinggi STAR menerima dan meluluskan peletakan jawatan kesemua pemimpin terlibat serta menamatkan keahlian mereka secara automatik.
“Mereka secara automatik tiada keahlian dalam STAR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jeffery berkata, semua jawatan dalam parti yang dikosongkan akan dipangku sementara oleh timbalan masing-masing.
“Dua daripada lima ADUN terbabit ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin (Sook) dan Datuk Robert Tawik (Bingkor).
“Manakala tiga lagi ialah Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) serta Datuk Flovia Ng (Tulid),” katanya.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan lima wakil rakyat itu telah menyertai GRS selepas STAR dipecat daripada gabungan tersebut.
Pemecatan itu berlaku selepas keputusan STAR untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 menggunakan logo sendiri.
Jeffery berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi STAR semalam turut membincangkan persiapan menghadapi PRN Sabah Ke-17.
“Antara agenda yang dibincangkan termasuk manifesto parti dan pelancaran program baharu dikenali sebagai Justice for Sabah pada 18 Oktober ini.
“STAR turut terbuka untuk bekerjasama dengan tiga parti tempatan lain bagi menghadapi pilihan raya tersebut. Ada beberapa parti, saya belum umumkan. Mungkin selepas kita jumpa mereka, kita akan tahu keputusan,” katanya. – UTUSAN










