PETALING JAYA: ‘Israel boleh menghalang kapal, tetapi mereka tidak akan mampu menghalang gelombang solidariti yang semakin membesar di seluruh dunia untuk membela Palestin.’
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perjuangan kemanusiaan yang dibawa oleh delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) merentasi perairan antarabangsa menuju ke Gaza.
Beliau berkata, ancaman terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi itu sebenarnya menggambarkan serangan terhadap maruah negara ini.
“Perjuangan ini adalah perjuangan kemanusiaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin hingga kemenangan tercapai.
“Konvoi ini membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza yang sedang menderita, namun Israel sekali lagi membuktikan sifat zalimnya dengan menyekat walaupun misi atas nama kemanusiaan.
“Tindakan ini bukan sahaja satu jenayah terhadap rakyat Palestin, malah penghinaan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang cintakan keamanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin turut mendesak pihak kerajaan mengambil langkah segera melalui saluran diplomatik dan perundangan untuk memastikan keselamatan dan pembebasan segera semua sukarelawan, khususnya warganegara Malaysia.
Beliau turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa tidak lagi berdiam diri.
“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukan,” katanya. – UTUSAN










