Tanglung

Hasil tanglung lebih moden elak perniagaan berkubur

CHONG Swee Ching menunjukkan tanglung yang dihasilkan dan dijual di kedai Sin Lee Seng di Jalan Tokong, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perubahan gaya hidup dan ketagihan gajet dalam kalangan generasi muda menyebabkan permintaan tanglung semakin berkurangan terutama menjelang musim perayaan.

Pembuat tanglung, Chong Swee Ching, 67, berkata, dia kini berdepan cabaran untuk meneruskan legasi perniagaan milik keluarganya yang telah diusahakan sejak lebih 100 tahun lalu.

Katanya, tanglung sebelum ini dianggap hiasan yang wajib ada di setiap rumah sebagai simbolik menyambut sesuatu perayaan di samping menceriakan suasana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah lebih 50 tahun saya membuat dan menjual tanglung di Jalan Tokong. Dulu memang laris tetapi sejak penghujung 80-an dan 90-an permintaan semakin berkurangan mungkin kerana perubahan cara hidup masyarakat yang semakin moden ditambah pula lambakan gajet yang melekakan.

“Walaupun masih ada yang membeli tetapi majoritinya adalah pelanggan dewasa yang mempunyai memori bermain tanglung semasa kecil. Saya lihat tanglung kian dilupakan dan tidak mustahil perniagaan ini akan terkubur dalam masa 10 ke 30 tahun lagi,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Swee Ching, bagi memastikan tanglung kekal relevan, dia berusaha menghasilkan rekaan yang lebih moden dan sesuai dengan trend semasa.

Menurutnya, dia masih mengekalkan cara tradisional dalam pembuatan tanglung merangkumi tiga proses utama iaitu mengikat rangka, melekat kertas kaca dan mewarna.

“Saya bersama seorang anak lelaki akan menghasilkan rangka tanglung sebelum isteri melekatkan kertas kaca dan proses mewarna akan dilakukan oleh anak perempuan. Kebanyakan rekaan tanglung bermotifkan 12 zodiak kalendar cina tetapi ada juga rekaan baharu seperti kapal terbang, Labubu dan Ninja Turtle.

“Harga bermula dari RM15 hingga lebih RM100 bergantung kepada saiz dan kesukaran untuk membuatnya. Tanglung moden dilengkapi dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) menggantikan penggunaan lilin bagi tujuan keselamatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini