PETALING JAYA: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa tindakan undang-undang antarabangsa segera diambil terhadap Israel ekoran penahanan flotila bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, penahanan sukarelawan dan aktivis kemanusiaan itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
Katanya, tindakan itu merupakan satu jenayah perang dan pelanggaran terhadap beberapa instrumen undang-undang melibatkan orang awam dan bantuan misi kemanusiaan.
“Tindakan terkini penahanan dan penawanan sukarelawan dan aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan tidak boleh diterima.
“Ini adalah satu jenayah perang dan pelanggaran terang-terangan terhadap beberapa instrumen undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat, yang melindungi orang awam dalam masa perang” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan beberapa kapal GSF, Alma, Surius, Adara dan Huga telah dipintas dan dinaiki tentera Israel di perairan antarabangsa.
Setakat ini, 12 sukarelawan Malaysia telah ditahan Israel antaranya Pelakon Zizi Kirana, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli serta Heliza dan Hazwani Helmi.
Tambahnya, kerajaan turut diseru untuk segera bertindak menyuarakan ketegasan supaya rakyat-rakyat Malaysia yang ditahan dapat dibebaskan secepat mungkin.
“PPMM menyeru tindakan segera dan efektif daripada kerajaan Malaysia menggunakan pelbagai saluran yang ada bagi pembebasan rakyat-rakyat Malaysia yang ditahan secara salah.
“Kami menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat. Rakyat Malaysia yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta dan dikembalikan ke tanah air dengan selamat,” katanya. – UTUSAN










