SERDANG: Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang membawa delegasi Malaysia kini berada kurang 250 batu nautika dari Gaza dan dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang sehari sebelum meneruskan pelayaran ke zon merah esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pelayaran kapal Conscience itu yang sepatutnya tiba lebih awal tertunda berikutan penukaran strategi keselamatan serta latihan simulasi serangan dan pintasan oleh tentera Zionis.
Menurut beliau, misi FFC kini menyusun strategi untuk tiba di zon merah pada 7 Oktober bagi mengelak sebarang provokasi atau tindakan keras daripada Israel.
“7 Oktober itu merupakan tarikh yang mungkin Israel akan jadikan apa jua alasan untuk ambil kesempatan menghentam misi ini, selain FFC tidak mahu tiba di Gaza pada hari Jumaat atau Sabtu kerana ia cuti hujung minggu di sana.
“Sewaktu cuti, pihak berkuasa tidak bekerja dan jika berlaku penahanan, peguam tidak dapat akses kepada peserta,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini pelayaran FFC ke Gaza di Ibu Pejabat MyCARE, di sini hari ini.
Jelasnya, sekiranya berlaku penahanan pada Rabu, pasukan peguam masih mempunyai ruang untuk ke pelabuhan dan mendapatkan akses segera kepada peserta misi.
“Kapal Conscience kini memperlahankan kelajuan antara satu hingga tiga batu nautika sejam kerana mereka menyasarkan untuk tiba di Gaza sebelum hujung minggu ini.
“Mereka berhenti seketika bagi menjalani simulasi diserang dan dipintas, disertai sembilan peserta yang pernah ditahan tentera Zionis bagi menjadikan latihan itu lebih realistik,” katanya.
Misi FFC kali ini menyaksikan seramai lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Itali pada 30 September lalu.
Antaranya Prof. Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali termasuk tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr. Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September lalu bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Menurut Kamarul Zaman, laporan daripada ketua delegasi Malaysia iaitu Mohd. Alauddin mendapati terdapat tiga hingga empat dron berlegar di ruang udara kapal namun status sebenar dron tersebut belum dapat dipastikan.
Katanya, penggunaan dron dipercayai antara strategi biasa pihak tertentu untuk melemahkan semangat peserta, namun peserta-peserta kekal bertekad meneruskan pelayaran ke Gaza.
Delegasi Malaysia turut mengadakan siaran langsung bersama Hospital Al-Awda di Gaza yang memaklumkan keadaan klinik-klinik di wilayah itu semakin kritikal akibat kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan.
“Petugas kesihatan di sana kini terpaksa menggunakan kaedah rawatan konvensional serta mengubah suai peralatan sedia ada bagi merawat pesakit.
“Tekanan antarabangsa terhadap rejim Israel perlu diteruskan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan tiba ke hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang kebarangkalian terhadap peserta FFC termasuk kapal layar Thousand Madleens to Gaza, kerajaan akan menyalurkan bantuan sama seperti yang dilakukan terhadap misi Global Sumud Flotilla sebelum ini.-UTUSAN










