Jangan halang perjalanan Global Sumud Flotilla ke Gaza

Jangan halang perjalanan Global Sumud Flotilla ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia men­desak supaya laluan kemasukan bantuan ke Gaza menerusi Glo­bal Sumud Flotilla (GSF) tidak dihalang oleh mana-mana pihak.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan desakan itu melihat bahawa sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk Gaza yang kini sudah berada dalam keadaan kritikal.

“Sebagai penaung kepada ini­siatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat me­laksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkemba­ngan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia Madani.

“Keberanian serta ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), semalam.

Misi kemanusiaan GSF menghimpunkan lebih 400 peserta termasuk 34 rakyat Malaysia dengan menggunakan 46 buah kapal membabitkan 42 negara.

Objektif GSF adalah untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang kini menghadapi genosid oleh rejim Zionis dengan membawa mesej memecahkan sekatan Israel.

Terkini, hampir semua 46 kapal yang mengikuti misi kemanusiaan tersebut kini sudah berada di zon kuning iaitu sekitar 250 batu nautika dari pesisir pantai Gaza dengan diiringi oleh Tentera Laut Turkiye sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kemalangan di perairan antarabangsa tersebut.

Pelayaran tersebut dijangka tiba di zon merah iaitu 100 batu nautika dari pesisir pantai Gaza kurang daripada 30 jam lagi yang dijangka bakal menghadapi provokasi lebih agresif daripada tentera Israel.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata, setakat pukul 3 petang semalam, semua kapal GSF telah berjaya mema­suki zon kuning 2 dan kapal GSF kini berada kira-kira 227 batu nautika dari pesisiran Gaza.

“Setakat semalam (kelmarin) tiada sebarang serangan atau aktiviti dron mencurigakan dilaporkan dan delegasi Malaysia juga berada dalam keadaan baik serta sihat,” katanya ketika sidang akhbar di SNCC, Sepang.

Menurut Sani Araby, dua kapal flotila iaitu Nusantara yang berlayar dari Tunisia dan Taigete dari Itali tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza berikutan kerosakan serius.

“Namun begitu, kapal lain yang mengalami kerosakan seperti Sirius dan Free Willy telah berjaya dibaiki serta dapat meneruskan pelayaran ke Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN