Sumud Flotilla: Kapal Fair Lady berlepas ke Gaza hari ini

Sumud Flotilla: Kapal Fair Lady berlepas ke Gaza hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapal Fair Lady yang membawa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali dijangka berlayar ke Gaza hari ini selepas tiga kali ditangguhkan.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal itu berkemungkinan meninggalkan pelabuhan Catania sebaik sahaja senarai akhir penumpang dimuktamadkan penganjur.

Menurut beliau, pengesahan penyertaan biasanya dilakukan melalui mesej peribadi yang menyatakan nama penumpang bot masing-masing, namun proses berkenaan mengambil masa kerana berlaku beberapa perubahan pada saat akhir.

“Setakat pukul 8 pagi (waktu tempatan semalam), sebahagian peserta, termasuk rakan sebilik saya, Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung MCM masih belum menerima mesej pengesahan.

“Walaupun nama saya sudah tersenarai sebagai penumpang Fair Lady, rasa berdebar masih ada kerana senarai itu belum dimuktamadkan sepenuhnya. Ada kemungkinan saya dipindahkan ke bot lain atau digugurkan terus daripada senarai,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Tuan Asri berkata, seramai 14 sukarelawan Malaysia bersama lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.

“Mudah-mudahan pelayaran dapat dimulakan hari ini dan kami semua dapat bergabung dengan flotilla lain dari Barcelona dan Tunisia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, wartawan bebas, ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad berdepan cabaran baharu apabila beliau dan anak perempuannya yang bertindak sebagai jurukamera disenaraikan menaiki bot berasingan.

“Situasi itu mungkin menyukarkan tugasan beliau, namun ZRA Strim tetap berlapang dada dan menganggap ia sebahagian daripada cabaran dalam misi ini,” katanya.

Misi Sumud Nusantara yang berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu disertai 15 rakyat Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman; penyanyi, Zizi Kirana dan pelakon, Ardell Aryana.

Misi berkenaan adalah sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN