PETALING JAYA: Malaysia mendoakan keselamatan sukarelawan negara yang menyertai pelayaran flotila antarabangsa menuju ke Gaza dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, delegasi Malaysia bersama aktivis dari 44 negara lain menyertai misi tersebut dengan tujuan utama menghantar bantuan kemanusiaan dan menuntut agar sekatan kejam terhadap Gaza segera dihentikan.
“Merekalah pejuang berani yang berangkat dengan satu tujuan mulia iaitu menyampaikan bantuan kemanusiaan serta membawa suara dunia menuntut keadilan buat rakyat Palestin.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan keselamatan semua aktivis, khususnya saudara-saudara kita dari Malaysia agar diberi kekuatan dan perlindungan sepanjang pelayaran yang penuh cabaran ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pelayaran flotilla antarabangsa yang disertai puluhan kapal itu menjadi simbol keberanian masyarakat dunia dalam menegakkan keadilan serta tanda solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin yang ditindas.
“Semoga usaha ini menjadi saksi keberanian umat manusia serta membawa sinar harapan buat rakyat Palestin yang sedang diuji.
“Malaysia berdiri teguh bersama perjuangan ini dan doa kita akan terus mengiringi mereka,” katanya. – UTUSAN










