PETALING JAYA: Kumpulan pertama flotila solidariti antarabangsa untuk Gaza yang berlepas dari Barcelona terkandas selama dua hari di Menorca selepas beberapa bot mengalami kerosakan akibat ribut di Laut Mediterranean.
Perunding Media Alkhair Malaysia, Razali Awang berkata, kerosakan teknikal memaksa kapal terbabit berlabuh bagi membolehkan kerja baik pulih dilakukan sebelum meneruskan pelayaran.
“Selepas melalui ribut yang kuat, beberapa bot mengalami masalah enjin dan struktur. Kami terpaksa berhenti di Menorca selama dua hari untuk membaiki kerosakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razali memaklumkan flotila kini kembali berlayar dan telah melepasi perairan selatan Sardinia, Itali sebelum dijangka tiba di Tunis dalam tempoh kurang tiga hari. Di Tunisia, kumpulan pertama itu akan bergabung dengan kumpulan kedua dari Itali sebelum bersama-sama menuju Gaza.
Katanya, flotila berdepan gangguan sejak meninggalkan Barcelona termasuk kehadiran dron yang dipercayai cuba mengintip perjalanan mereka.
“Setakat ini semua kapal berada dalam keadaan baik, tetapi kami sedar ada usaha mengganggu dan menjejaki pergerakan flotila. Kelewatan ini cabaran logistik, namun tidak akan melemahkan semangat kami.
Kami sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan, termasuk kerosakan teknikal dan gangguan pihak luar,” katanya.
Menurutnya, kehadiran petugas kesihatan dalam misi berkenaan turut menjadi kekuatan tambahan kerana selain membawa mesej solidariti, mereka turut menawarkan kepakaran perubatan yang amat diperlukan rakyat Gaza.
Flotila Gaza 2025 dilancarkan sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin serta komitmen menamatkan krisis kemanusiaan berpanjangan. – UTUSAN










