BALING: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki yang meninggal dunia, bulan lalu.
Tertuduh, Lans Koperal Sharif Abu Hurairah Abu Bakar, 24, dan Konstabel Mohammad Nashrul Alif Alahuddin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pemerasan terhadap Zulqadiri Mohd. Sabri, 32, sehingga mendatangkan ketakutan dan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM200 di tepi Jalan Parit Panjang, Kampung Asam Jawa, dalam mukim Pulai, di sini pada pukul 7.38 malam, 19 September lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, S. Shathishbhabu.
Mahkamah menetapkan jaminan kepada setiap tertuduh sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan mereka membayar jaminan tersebut sebelum kes disebut semula pada 27 November depan untuk serahan dokumen.
Akhbar pada 22 September lalu melaporkan dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian ditemukan meninggal dunia di Kampung Asam Jawa, mukim Pulai, di sini.
Penahanan itu susulan laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 74 tahun yang mendakwa polis telah merampas telefon bimbit milik anaknya serta meminta wang RM200 untuk menebus semula telefon tersebut. – UTUSAN









