KLANG: Dua anggota polis peronda ditahan dan bakal berdepan tindakan mahkamah selepas ‘mengepau’ seorang peniaga burger yang sedang menghantar pesanan di sekitar Bukit Tinggi, di sini pada awal pagi Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kuira pukul 1.10 pagi itu, kedua-dua anggota berpangkat koperal berusia 39 tahun itu dikatakan sedang meronda di kawasan sama sebelum menahan motosikal seorang lelaki di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) kira-kira 500 meter sebelum susur masuk ke Bandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan maklumat siasatan. lelaki berusia 22 tahun itu kemudian diperiksa dan dikenal pasti cukai kenderaan motosikalnya tamat tempoh pada 15 Mac tahun lalu.
Menurutnya, susulan kesalahan tersebut, anggota terbabit yang menaiki kereta peronda polis itu meminta lelaki berkenaan yang juga pengadu menyerahkan sejumlah wang tunai dan barang milik pengadu kepada mereka.
“Selepas berbincang, pengadu kemudian memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada anggota polis berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, susulan laporan diterima polis pada 10 pagi hari yang sama, sepasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap kedua-dua anggota berkenaan pada keesokannya.
“Kira-kira pukul 7 petang, sepasukan polis daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah membuat tangkapan terhadap kedua-dua suspek yang terlibat serta merampas barang kes berkaitan.
“Pegawai penyiasat dalam usaha untuk melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat untuk arahan lanjut,” jelasnya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama 10 tahun dan juga dikenakan denda dan sebat.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










