JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang disyaki terlibat memeras ugut seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Selasa lalu direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki itu dikeluarkan Majistret, A. Shaarmini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Mereka yang masing-masing berusia 32 dan 33 tahun tiba di pekarangan mahkamah dengan memakai pakaian lokap dan diiringi polis kira-kira pukul 9 pagi.
Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 1.50 petang semalam, manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif bahan terlarang.
Semalam, Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata, kedua-dua anggota polis itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja di Singapura.
Mangsa mendakwa kedua-dua polis berkenaan mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah sebelum meminta sejumlah wang. – UTUSAN










