KUANTAN: Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia melakar sejarah baharu apabila Dr. Farah Amalina Ishak, graduan Politeknik Ungku Omar (PUO) menjadi individu pertama dalam kalangan alumni TVET di Asia yang berjaya memperoleh gelaran Doktor Falsafah (PhD).
Dr. Farah Amalina yang memulakan perjalanan akademiknya di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di PUO, meneruskan kecemerlangan akademik ke peringkat Sarjana dan PhD di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan institusi TVET, malah mengangkat martabat pendidikan teknikal negara ke peringkat antarabangsa apabila Dr. Farah Amalina turut tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists 2025. Ia bagi kategori Pencapaian Satu Tahun, satu pengiktirafan berprestij oleh Elsevier BV dan Stanford University berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menyenaraikan beliau dalam kalangan saintis terkemuka di dunia.
Hanya segelintir saintis yang tersenarai dalam ranking ini dan pencapaian tersebut memperlihat betapa luar biasanya sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan, khususnya dalam kejuruteraan dan inovasi teknologi.
Penyelia PhD beliau, Prof. Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak berkata, dengan tersenarainya beliau dalam Top 2% Scientists dunia, Farah Amalina membuktikan pendidikan TVET bukan hanya membentuk individu menjadi pekerja mahir tetapi membekalkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mencipta perubahan dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi bukti jelas bahawa TVET mampu menghasilkan pemimpin dalam dunia sains dan teknologi yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Farah Amalina menunjukkan bahawa pelajar TVET bukan sahaja mampu bersaing, malah boleh menjadi pemimpin dalam dunia penyelidikan dan akademik. Beliau adalah bukti bahawa sistem TVET kita mampu melahirkan saintis bertaraf dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Abdul Syukor, sepanjang pengajiannya di UMPSA, Farah Amalina aktif dalam penyelidikan berkaitan sumber air dan alam sekitar, serta menerbitkan jurnal berimpak tinggi yang dirujuk oleh penyelidik antarabangsa.
Katanya, beliau juga terlibat dalam projek kolaborasi antara universiti dan industri, menjadikan sumbangannya relevan dan signifikan kepada pembangunan teknologi negara.
“Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) selama setahun di industri turut memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran praktikal dan kebolehpasaran beliau sebagai graduan TVET. Pendekatan ini membolehkan pelajar mengaplikasi teori dalam situasi sebenar, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran industri.
“Kejayaan Farah jadi inspirasi kepada generasi muda bahawa laluan TVET bukan sekadar mendapatkan pekerjaan teknikal, tetapi juga membuka ruang kepada pencapaian akademik tertinggi dan pengiktirafan global,” katanya. – UTUSAN










