PETALING JAYA: ‘Dia diseret ke tanah dan dipaksa mencium bendera Israel’. Itu pengakuan saksi yang menyaksikan sendiri bagaimana aktivis kemanusiaan asal Sweden, Greta Thunberg diseksa oleh tentera Israel.
Insiden zalim itu diceritakan oleh wartawan Türkiye yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Ersin Celik kepada Al Jazeera.
Katanya, wanita itu diperlakukan dengan sangat teruk serta dijadikan bahan propaganda Israel.
“Thunberg adalah seorang wanita yang berani. Baru berusia 22 tahun, dia sudah dimalukan sedemikian rupa, dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti piala,” katanya.
Difahamkan, Thunberg ditempatkan dalam sel khas di penjara Israel kerana didakwa kononnya sebagai perancang utama misi kemanusiaan GSF yang membelah samudera itu.
Setakat malam tadi, seramai 137 daripada 462 aktivis GSF dibebaskan oleh tentera Israel dengan bantuan Kerajaan Türkiye.
Mereka terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia. – UTUSAN










