25 inisiatif pacu mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN

25 inisiatif pacu mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN

Mohamed Khaled Nordin memeriksa perbarisan pada raptai sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), protokol tindak balas bencana serantau, latihan mari­tim serta penyataan bersama mengenai kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan antara agenda utama Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 dan ADMM-Plus Ke-12.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mesyuarat yang dianjurkan Malaysia bermula semalam hingga Ahad ini menandakan penerimaan 25 inisiatif baharu, menjadikan ia antara tertinggi pernah dicatat sejak penubuhan ADMM dan ADMM-Plus.

Katanya, inisiatif-inisiatif ter­sebut akan dibahagikan kepada tiga bidang utama dalam mesyuarat tersebut iaitu me­numpukan kepada pengukuhan kerjasama industri pertahanan, termasuk penubuhan AOT bagi memantau gencatan senjata Thailand dan Kemboja, selaras dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Penubuhan AOT mencerminkan kesediaan blok ini untuk memainkan peranan aktif dalam pencegahan konflik dan kestabilan serantau,” katanya selepas meninjau persiapan ADMM Ke-19 dan ADMM-Plus Ke-12 di sini semalam.

Katanya, bidang kedua pula akan menyentuh hal berkaitan pengukuhan tahap kesiapsiagaan operasi dan penyelarasan, termasuk tindak balas bencana di mana mesyuarat dijangka turut meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi Kumpulan Tentera Sedia ASEAN (AMRG).

Katanya, langkah ini akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja pengurusan bencana serantau dengan matlamat memastikan penyelarasan lebih pantas dan tindak balas berkesan antara negara anggota.

Mohamed Khaled berkata, bidang ketiga memberi tum­puan kepada ancaman baharu dan kompleks antaranya dalam aspek keselamatan siber hingga perlindungan infrastruktur bawah laut kritikal.

“Ketika ASEAN terus memperkukuh mekanisme keselamatan kolektif dalam menghadapi cabaran yang semakin berkembang, beberapa latihan maritim ASEAN Plus One akan diluluskan melalui mesyuarat ini termasuk latihan bersama dengan Amerika Syarikat, China, India dan Republik Korea,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN