KUALA LUMPUR: Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan penjelasan sendiri daripada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berhubung desas-desus mengenai kemungkinan parti itu bekerjasama atau menyertai Perikatan Nasional (PN).
Perkara ini setelah Vigneswaran berkata, bahawa MIC tidak menolak kemungkinan partinya bekerjasama atau menyertai PN.
“Saya akan tanya kepada beliau sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam di sini, hari ini.
Sebelum ini, Vigneswaran memaklumkan bahawa MIC tidak menolak kemungkinan parti itu menyertai PN, namun masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan isu berkenaan.
Beliau menyifatkan jemputan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ‘merisik’ dan MIC akan meneliti perkara itu secara berhati-hati sebelum memutuskan sebarang langkah.
Selain itu, Vigneswaran menegaskan hubungan MIC dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sama seperti permusuhan lama antara UMNO dan DAP.
Pada 12 September lalu, Tuan Ibrahim mendedahkan beberapa parti menyatakan minat untuk menyertai PN, namun enggan menamakan mereka ketika ditanya sama ada komponen BN termasuk dalam kalangan yang memohon.
Beliau berkata, permohonan itu termasuk parti yang mahu menjadi ahli penuh serta pihak yang hanya berminat menjadi rakan PN dan semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.-UTUSAN










