KUALA PILAH: Aktiviti menelusuri Gua Batu Maloi, Johol di sini sememangnya menjadi tarikan utama pelancong, namun ia menuntut bimbingan jurupandu berpengalaman bagi memastikan keselamatan setiap peserta terjamin.
Jika kebiasaannya tugas mencabar itu didominasi lelaki, berbeza pula bagi Noraini Omar, 54, yang mesra digelar ‘Mami’. Ibu kepada empat anak ini sudah lebih sedekad menjadi jurupandu gua meskipun usianya menjangkau separuh abad.
Noraini berkata, penglibatannya bermula pada tahun 2011 selepas diminta membantu seorang jurupandu berpengalaman yang kekurangan tenaga.
“Awalnya saya hanya peserta, tetapi apabila ada keperluan, saya ditarik untuk membantu. Dari situ saya mula serius dan seterusnya menghadiri kursus Jabatan Perhutanan sebelum dilantik sebagai jurupandu bertauliah,” katanya ketika ditemui di Taman Eko Rimba Gua Batu Maloi, di sini.
Menurutnya, jadualnya bergantung kepada jumlah pengunjung yang datang. Pernah juga empat hari berturut-turut beliau membawa kumpulan menelusuri celah gua yang berair dan berbatu.
Katanya, ramai pengunjung pada mulanya menyangka beliau hanya peserta kerana tidak menyangka seorang wanita seusianya mampu menjadi jurupandu.
“Mereka terkejut bila tahu saya sebenarnya yang mengetuai ekspedisi. Bagi saya, usia bukan halangan asalkan jaga kesihatan, buat senaman ringan dan kekalkan rutin masuk gua setiap minggu,” katanya.
Bagi Noraini, Gua Batu Maloi bukan sekadar tempat kerja tetapi sebahagian daripada hidupnya.
“Selagi mampu, saya mahu terus membimbing pengunjung kerana gua ini sudah sebati dengan jiwa saya,” katanya. – UTUSAN










