Usaha popularkan semula bunga kelumpang sebagai identiti negeri Perak

Usaha popularkan semula bunga kelumpang sebagai identiti negeri Perak

RAJA Kamar Azhar Raja Muda Ahmed Siffudin (tengah) menanam pokok bunga Kelumpang pada program komuniti Kampung Kledang bersempena Hari Malaysia di Kuala Kangsar kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Usaha menanam pokok bunga Kelumpang akan dijalankan di sepanjang Sungai Perak untuk mempopularkan kembali tumbuhan tersebut yang sering menjadi motif dalam seni bina warisan negeri ini.

Ini kerana, sebahagian besar rakyat Perak sendiri tidak sedar bunga tersebut sering menjadi seni ukiran di mimbar dan hiasan masjid atau di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Pengerusi Persatuan Samudera 9 Perak (Ocean 9), Raja Kamar Azhar Raja Muda Ahmed Siffudin berkata, usaha penanaman itu akan dibuat bermula di tepi Sungai Perak di Kampung Kledang di sini sehingga ke Bagan Datuk.

“Walaupun tidak pupus, bilangan pokok ini semakin kurang. Kita mahu pulihkan keadaan ini dengan cuba menambahkan bilangan pokok,” katanya pada program komuniti Kampung Kledang bersempena Hari Malaysia 2025 di sini kelmarin.

Beliau menjangkakan usaha penanaman itu akan mengambil tempoh yang panjang dan boleh mencecah sehingga 10 tahun untuk dijayakan.

Jelasnya, mengikut kajian yang terbaru, pokok bunga Kelumpang terdapat banyak di Pulau Kalumpang, Bagan Serai serta Hutan Belum, Gerik dan terbahagi kepada dua jenis iaitu Kelumpang Jari dan Kelumpang Burung.

Difahamkan, bunga Kelumpang pernah diusahakan untuk menjadi bunga rasmi negeri Perak kerana tumbuhan itu dipercayai hanya terdapat di negeri ini.

Bunga Kelumpang tumbuh subur di kawasan tropika seperti lembah dan paya, berkembang selepas musim tengkujuh dan batang pokok itu mampu mencapai ketinggian sehingga 12 kaki.

“Kita cuba memberi pengetahuan semula tentang pokok bunga ini. Jika rakyat Malaysia mengetahui Bunga Raya ialah bunga rasmi negara, kita mahu rakyat mengetahui bunga Kelumpang adalah bunga negeri Perak,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Wan Sofiah Meor Osman berkata, kajian sedang dijalankan untuk mengangkat semula bunga Kelumpang berdasarkan rekod sejarah yang ada.

Katanya, kajian itu akan melihat bagaimana konsep bunga itu diguna pakai dalam ukiran tradisional selain menjadi imej batik Perak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN