KUALA LUMPUR: Seramai tujuh individu termasuk ketua dan ahli sebuah pertubuhah ditahan susulan insiden kekecohan yang berlaku ketika operasi pengosongan 37 unit kediaman di Kampung Sungai Baru di sini kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 15 hingga 52 tahun.
Katanya, sebanyak tiga tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dibuka membabitkan kes kekecohan sehingga menghalang penjawat awam dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
“Susulan itu, kita menahan seramai tujuh individu termasuk ketua serta ahli-ahli sebuah pertubuhan disyaki terlibat dalam insiden kekecohan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Fadil berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti tujuan penglibatan mereka termasuk sekiranya ada konflik kepentingan atau kemungkinan agenda lain.
“Pada masa ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada pertubuhan ini mempunyai kaitan dengan elemen samseng atau jenayah kekerasan sehingga siasatan selanjutnya selesai.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak beralamat di kawasan terbabit namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Katanya, keenam-enam mereka direman selama tiga dan dua hari bagi membantu siasatan manakala seorang lagi berusia 26 tahun telah dituduh di mahkamah semalam.
“Kita juga sedang memburu beberapa individu disyaki terlibat dalam kejadian terbabit.
“Justeru, kita minta saksi atau masyarakat mempunyai bukti diminta tampil bagi menyalurkan video-video atau maklumat berkaitan,” katanya.-UTUSAN










