PETALING JAYA: Transaksi Budi Madani RON95 (BUDI95) mencecah RM43.7 juta dengan pembelian petrol sebanyak 21.8 juta liter di semua stesen minyak di seluruh negara setakat pukul 7 semalam.
Jumlah itu direkodkan membabitkan hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melakukan transaksi sejak Sabtu lalu.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, inisiatif BUDI95 dengan harga RM1.99 seliter, dimulakan dengan penghargaan kepada 300,000 warga ATM dan PDRM pada Sabtu lalu.
Katanya, program itu disusuli dengan peluasan BUDI95 khas kepada lima juta penerima STR pada Ahad lalu dan dari segi pelaksanaan, sistem digunakan kekal stabil pada kedua-dua hari tersebut.
“Bermula pada tengah malam tadi, BUDI95 diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak. Selain itu, kerajaan telah menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter untuk Oktober 2025,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Beliau berkata, penerima BUDI95 dapat menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan manfaat subsidi diberikan kerajaan kepada rakyat Malaysia sebanyak 61 sen seliter.
“Berdasarkan had kelayakan 300 liter, setiap individu menerima manfaat subsidi yang mencecah RM183 sebulan. Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengotakan janji untuk melindungi rakyat dengan memastikan mereka terus menikmati petrol RON95, ditambah dengan penjimatan bagi meringankan beban rakyat.
“Selain itu, bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) bagi mengenalpasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi. Kementerian Kewangan bersama APAD akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan pada minggu ini,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga bersubsidi.
“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan Kerajaan Negeri berkenaan bagi mengumpul data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya. – UTUSAN










