KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam percubaannya untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching daripada mendengar semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, permohonan itu dibuat atas alasan kenyataan dibuat hakim itu ketika mendengar permohonan Najib untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, boleh menimbulkan persepsi wujudnya unsur berat sebelah.
Hujah Muhammad Shafee, prinsip duty of candour atau kewajipan untuk berlaku telus sepenuhnya merupakan elemen penting dalam semakan kehakiman, khususnya ketika peringkat permohonan kebenaran (leave).
Prinsip duty of candour merujuk kepada kewajipan pihak pemohon untuk mendedahkan semua fakta berkaitan kepada mahkamah, termasuk fakta yang mungkin tidak menyebelahi mereka.
“Selepas meneliti nota prosiding, kami berpandangan isu ini cukup untuk menimbulkan persoalan mengenai kebebasan hakim.
“Oleh itu, kami menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Arif untuk menarik diri,” katanya.
Beliau berkata, anak guamnya mengarahkan perkara itu dibangkitkan bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Hakim Yee Ching menolak permohonan tersebut dan menegaskan bahawa penilaiannya sebelum ini hanya dibuat dalam konteks permohonan kebenaran bagi prosiding komital.
Katanya, ia juga tidak memberi kesan kepada perbicaraan penuh yang sedang berlangsung.
“Saya telah mempertimbangkan permintaan ini. Ketika memutuskan isu duty of candour itu, ia dibuat dalam konteks permohonan kebenaran semata-mata.
“Ia tidak boleh dilihat melangkaui konteks tersebut,” katanya.
Hakim kemudian menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sambungan perbicaraan.
Pada 4 September lalu, Hakim Yee Ching menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Terrirudin berkaitan Titah Adendum.
Perkara tersebut diputuskan selepas mahkamah mendapati beliau gagal mengemukakan kes prima facie dan hujah yang dikemukakan lebih bersifat spekulatif.
Ketika membaca keputusannya, Hakim Yee Ching berkata Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan selaku responden tidak mempunyai kewajipan untuk mengesahkan atau menafikan dakwaan berhubung kewujudan titah diraja tersebut pada peringkat awal prosiding.
Pada 19 Ogos lalu, Terrirudin didakwa dengan sengaja memilih untuk menyembunyikan kewujudan Titah Adendum berkaitan perintah tahanan di rumah terhadap Najib sekaligus mengelirukan mahkamah serta gagal melaksanakan tanggungjawab keterbukaannya.
Muhammad Shafee berkata, terdapat bukti jelas menunjukkan Terrirudin mengetahui mengenai kewujudan titah tambahan itu namun tetap memilih untuk tidak mendedahkannya.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman oleh Najib berhubung Titah Adendum tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan penuh, sekali gus menolak rayuan Peguam Negara yang membantah keputusan itu.
Najib turut memohon satu perintah mandamus supaya mana-mana atau semua responden terbabit mengesahkan serta membuktikan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu. – UTUSAN









