Saya syak Najib terlibat seleweng dana AS$1 bilion - Saksi - Utusan Malaysia

Saya syak Najib terlibat seleweng dana AS$1 bilion – Saksi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi 1MDB memberitahu beliau mengesyaki Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam penyelewengan dana melebihi AS$1 bilion yang sepatutnya digunakan dalam projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Petrosaudi International (PSI).

Menurut Tan Sri Mohd. Bakke Salleh, perasaan syak wasangka itu diperkuatkan lagi apabila persetujuan mengenai suntikan dana AS$1 bilion dipercepatkan dan selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu bahawa beliau (Shahrol) menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya mengesyaki bekas Perdana Menteri (Najib) mengetahui dan terlibat dengan penipuan membabitkan Petrosaudi. Perasaan sama turut dirasai oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah (1MDB) lain.

“Kita perlu melihat kepada keseluruhan projek (usaha sama) tersebut. Sekiranya saya tidak menjawab panggilan telefon daripada Najib, Ahli Lembaga Pengarah tidak akan mempercepatkan perjanjian tersebut. Ini yang mula membangkitkan syak saya. Kenapa perlu mempercepatkan sesuatu perjanjian tanpa melalui prosedur biasa,” kata beliau.

 

Kes meminda

Saksi ke-13 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Arul Kanda, 45, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada prosiding 22 Disember tahun lalu, Mohd. Bakke berkata, susulan pendedahan berkenaan pelencongan AS$700 juta dana 1MDB, beliau memaklumkan mengambil keputusan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai pengerusi 1MDB pada 19 Oktober 2009.

Menurut beliau, keputusan itu kerana pengurusan 1MDB tidak patuh kepada arahan lembaga pengarah berhubung dana AS$1 bilion milik syarikat itu, yang bertujuan untuk digunakan dalam usaha sama dengan syarikat Abu Dhabi, Petrosaudi Saudi International Limited (PSI).

Ketika perbicaraan semalam, Mohd. Bakke turut diperiksa balas oleh Muhammad Shafee kenapa beliau tidak memberitahu Najib tentang hasratnya untuk letak jawatan.

“Saya tak (jumpa) pada masa itu kerana saya ada syak yang bekas perdana menteri juga terlibat dalam kes ini, tentang pelaburan (dana AS$1 bilion untuk usaha sama) dengan Petrosaudi.

“Saya putuskan yang saya tidak mahu jumpa dia (peribadi) secara peribadi. Saya tak selesa,” kata Mohd. Bakke.

Selain itu, menurutnya, beliau turut mengelak daripada memberitahu Najib juga disebabkan Najib telah memberitahunya agar memaklumkan kepada lembaga pengarah untuk membuat keputusan berkenaan cadangan usaha sama dengan PSI.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya