Hakim Danish lengkap aksi di kedudukan ke-13

Hakim Danish lengkap aksi di kedudukan ke-13

Hakim Danish menokok tiga mata pada GP Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini. - Gambar Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli melengkapkan aksinya di kedudukan ke-13 pada Grand Prix (GP) Motosikal Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini.

Bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, Hakim Danish melakar masa 33 minit 36.359 saat (s).

Memulakan aksinya dari petak ke-10, pelumba itu gagal mengekalkan mahupun memperbaiki kedudukannya dan dia perlu melakukan sesuatu jika berhajat untuk bersaing secara kompetitif dengan penunggang di kelompok hadapan.

Hakim Danish ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir mengakui, dia agak bergelut dan banyak kehilangan masa di selekoh berkelajuan tinggi.

“Saya perlu memperbaiki tunggangan terutama ketika di selekoh laju. Saya sempat berada di kedudukan kelapan, namun, selepas itu dipintas semula oleh beberapa pelumba lain.

“Pelumba di kelompok hadapan memang sangat laju dan saya agak bergelut untuk mengekori rentak mereka,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Hakim Danish, dia tidak berputus asa dan terus cuba mengejar pelumba di hadapan.

Mengenai pemilihan tayar pula, jelas pelumba itu, dia berasa pilihan yang dibuatnya agak baik dan hampir sama dengan pelumba lain.

“Untuk pelarasan jentera, saya rasa masih ada ruang yang boleh dipertingkatkan lagi. Dari segi tekanan, saya tidak berdepan sebarang masalah,” ujarnya.

Keputusan tersebut menyaksikan Hakim Danish hanya sekadar menokok tiga mata pada perlumbaan pusingan keempat itu dan sekali gus mengumpul 12 mata keseluruhan.

Kutipan mata itu membolehkan anak jati Terengganu berusia 18 tahun tersebut menghuni kedudukan ke-15 dalam carta senarai pelumba Moto3.

Pelumba Sepanyol,Maximo Quiles dari pasukan CFMoto Gaviota Aspar Team muncul juara perlumbaan itu selepas mempamerkan persembahan dominan dengan catatan masa terpantas 33:23.556s.

Rakan senegaranya, Adrian Fernandez yang mewakili pasukan Leopard Racing berada di kedudukan kedua (33:25.547s), manakala, seorang lagi wakil Sepanyol, David Munoz yang bernaung di bawah pasukan Luqui Moly Dynavolt Intact GP menamatkan saingan di tangga ketiga (33:25.565s).

Pusingan berikutnya ialah di GP Perancis yang akan berlangsung pada 8-10 Mei ini di Litar Le Mans yang tidak asing lagi buat Hakim Danish sewaktu bersaing dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN