Najib 'simpan' duit untuk halang wakil rakyat dibeli pembangkang

Najib ‘simpan’ duit untuk halang wakil rakyat dibeli pembangkang

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘menyimpan’ sejumlah wang yang dikatakan derma Arab sebagai pelan luar jangka sekiranya timbul keperluan bagi menghalang wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dibeli pembangkang seperti yang berlaku pada 16 September 2008.

Bagaimanapun, wang tersebut telah dipulangkan sekitar hujung 2013 tetapi tidak secara terus kepada Kerajaan Arab Saudi, sebaliknya menerusi syarikat Tanore Finance Corp. yang didakwa dimiliki oleh kerajaan Timur Tengah itu.

“Saya terpaksa bersedia dari segi kewangan walaupun saya tidak bersetuju dengan amalan ini kerana takut-takut pihak pembangkang mencuba sekali lagi. Namun, apabila tiada sebarang gerakan berlaku, saya rasa perlu dipulangkan semula kepada pihak yang memasukkan dana tersebut ke akaun saya iaitu pihak yang dilantik oleh Arab Saudi, Tanore Finance Corp.,” kata Najib.

Menurut keterangan saksi sebelum ini, Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal oleh sekutu Jho Low bernama Eric Tan Kim Loong.

Kenyataan itu dibuat oleh Najib ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2018 dan dibacakan semula ialah Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.

Nur Aida membaca semula penyataan tersebut bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika pemeriksaan semula semalam.

Pada 16 September 2008, Ke­tua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang ketika itu) mendakwa lebih 31 ahli Parlimen daripada BN kononnya akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekali gus menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terbubar.

Najib adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Ahmad Akram: Sebahagian daripada pembelaan Najib bahawa beliau telah menerima derma Arab. Derma tersebut didakwa tidak digunakannya sebaliknya disimpan sebagai pelan kontengensi sekiranya terdapat kejadian luar jangka seperti 16 September (2008). Jadi, dana tersebut digunakan untuk kepentingan politiknya?
Nur Aida: Ya.

Ahmad Akram: Kamu telah ditunjukkan oleh pembelaan kenyataan yang diberikan oleh Najib (kepada SPRM). Ada atau tidak bahagian yang penting bagi sisasatan kamu tetapi tidak ditunjukkan oleh pembelaan (ketika soal balas)?
Nur Aida: Ada.

Selain itu, Nur Aida menyatakan sehingga hari ini, Najib tidak pernah sebarang laporan kepada mana-mana pihak mengenai dakwaan tanda tangannya telah dipalsukan.

Pihak pembelaan sebelum ini sering membangkitkan isu bahawa tanda tangan dalam dokumen-dokumen kelulusan pinjaman oleh 1MDB adalah berbeza seperti `disalin dan tampal’.

Nur Aida sebelum tamat memberi keterangannya sebagai saksi pendakwan ke-49 memberitahu individu yang mendapat manfaat daripada penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB ialah Najib.

Dalam pada itu, selepas 235 hari, perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di peringkat pendakwaan yang memakan masa selama enam tahun, akhirnya ditutup.

Ahmad Akram memaklumkan perkara itu selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan.

“Disebabkan tiada lagi saksi yang perlu dipanggil (memberi keterangan), tiada lagi saksi yang perlu disoal balas, jadi saya ingin menutup kes pendakwaan.

“Selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan telah dipanggil, pihak pendakwaan ingin menawarkan 49 saksi kepada pembelaan termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah,” kata Ahmad Akram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan hujahan lisan pada 19 hingga 22 Ogos ini sebelum bersambung selama lapan hari pada September ini.

Perbicaraan kes itu, bermula pada 28 Ogos 2019 dengan saksi pertama pendakwaan Datuk Dr. Farizah Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri.

Saksi terakhir pendakwaan ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×