Rasanya, tidak sesuai tanya ‘boleh buka tudung atau tidak’? - Utusan Malaysia

Rasanya, tidak sesuai tanya ‘boleh buka tudung atau tidak’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK rasa yang terkumpul apabila pengacara popular, Uyaina Arshad dihujani dengan pertanyaan seorang individu yang mempersoalkan sama ada dia terbuka menanggalkan tudungnya untuk menjadi pengacara majlis?

Timbul rasa keliru dan pada masa sama, lawak apabila soalan yang tidak sepatutnya ditanyakan kepadanya, akhirnya diajukan.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad berlapang dada dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian ujian yang diturunkan untuk menguji keimanannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum individu tersebut menghubungi, kami lebih dahulu berbual mengenai butiran tawaran mengcarakan majlis berkenaan menerusi pesanan WhatsApp.

“Selepas itu dia menghubungi saya, bertanyakan sekiranya saya terbuka untuk menanggalkan hijab untuk mengacarakan majlis makan malam itu.

“Saya terus sahaja mengatakan tidak dan tiada soalan susulan daripada individu berkenaan selepas itu. Saya faham, mungkin individu itu berasa serba salah kerana bertanyakan kepada saya soalan yang tidak sepatutnya. Dia hanyalah orang tengah yang menyampaikan hasrat klien sahaja.

“Apa pun, perbualan itu berhenti setakat itu. Tiada respons selepasnya. Ada rupanya golongan yang merasakan tudung itu seolah-olah boleh dibuka pakai sesuka hati,” katanya kepada Pancaindera.

Mengulas lanjut, Uyaina, yang sejak remaja mengenakan tudung, terkejut dan tidak menyangka isu berhijab diambil remeh sesetengah pihak.

“Selama ini memang saya berhijab, malah sebelum menceburkan diri dalam bidang seni lagi. Bukannya baru semalam. Sebab itu soalan berkenaan tidak seharusnya ditanya kepada saya. Situasi ini memeranjatkan saya,” katanya lagi.

TUDUNG LAMBANG WANITA MUSLIM

Diajak mengulas lebih lanjut mengenai isu berkenaan, Uyaina berkata memakai tudung membawa makna lebih daripada sekadar menutup kepala. Katanya, bertudung mengingatkan dirinya untuk menjaga maruah dan kehormatan sebagai wanita beragama Islam.

“Saya tegaskan yang saya tidak bercakap mewakili mana-mana wanita, ia hanyalah pandangan yang bersifat peribadi.

“Bertudung ini menjadi identiti saya buat sekian lama, malah saya dibesarkan dengannya. Sejak kanak-kanak lagi saya dilatih mengenakannya.

“Tudung ini bukan sekadar pakaian, malah ianya menjadi identiti saya sebagai seorang wanita Muslim. Sampaikan saya akan berasa pelik kalau meninggalkannya,” kongsinya.

Ditanya mengenai situasi rakan artis yang berdepan ujian membuka tudung kerana tiada pekerjaan, Uyaina bersyukur kerana dia tidak diuji sedemikian rupa.

“Sekali saya tegaskan pandangan saya ini tidak mewakili sesiapa, ia bersifat peribadi. Setiap manusia diuji dengan ujian berlainan. Keadaan itu adalah pilihan masing-masing, dugaan tersendiri.

“Sebenarnya, ada rakan industri seni yang bertanyakan hal yang sama, bagaimana saya bertahan dan pernahkah saya diuji apabila bertudung. Alhamdulillah, saya tidak pernah berdepan dugaan itu.Dan sebenarnya, penampilan inilah yang menyelamatkan saya daripada melakukan banyak perkara yang ditegah,” kongsinya.

Uyaina dalam masa sama menegaskan, dia tidak pernah menghukum orang lain apatah lagi memilih bulu dalam persahabatan mengenangkan dia juga masih belajar dan tidak sempurna dalam menutup auratnya.

“Lain orang, lain ceritanya. Itu lumrah dunia hiburan. Saya terbaca banyak perkongsian media sosial mengenai dunia lakonan, yang mana pelakon berdepan pelbagai permintaan untuk mendapatkan watak.

“Saya berkawan dengan ramai orang dan tidak pernah memilih bersahabat dengan orang yang bertudung sahaja.

“Saya pun bukan wanita Muslim sempurna. Adakalanya tidak sempurna menutup aurat. Setiap hari masih berusaha ke arah kebaikan.Sehingga kini, inilah yang kemampuan saya dalam berpakaian,” ujarnya.

GEMURUH BERGELAR PENERBIT

“Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Itu pandangan Uyaina sebelum memutuskan untuk bergelar penerbit dan pengasas UA Vision Sdn. Bhd. dan bakal menerbit filem sulung, Ragging.

“Berbekal sedikit pengalaman, ilmu baharu dan sokongan daripada orang sekeliling berpengalaman, akhirnya saya membuat keputusan untuk menjadi penerbit dan menerbitkan filem.

“Proses pencarian pelakon sudah pun tamat. Saya tak sangka ramai yang hadir, sekitar 400 orang, malah ada pelakon yang berpengalaman yang hadir seperti Sweet Qismina, Adam Lee dan ramai lagi.

“Insya-Allah penggambaran akan dimulakan sekitar Disember ini. Saya sebenarnya teruja kerana ini merupakan filem pertama saya yang saya terbitkan,” katanya.

Filem Ragging mengupas isu buli yang semakin membarah dewasa ini. Uyaina berpandangan isu tersebut wajar diketengahkan mengenangkan semakin banyak kes buli membabitkan pelajar sekolah sekarang ini.

“Kebelakangan ini kita banyak membaca laporan di arus perdana dan media sosial mengenai kes buli yang membabitkan pembunuhan dalam kalangan pelajar sekolah. Saya merasakan isu ini menarik untuk diketengahkan.

“Filem Ragging bukan filem mengenai buli yang biasa dipertontonkan kepada kita. Tidak banyak yang boleh saya ceritakan kerana filem masih dalam pembikinan. Apa yang pasti, Mereka yang menonton filem ini nanti akan mendapat sesuatu daripadanya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini