JOHOR BAHRU: Seramai 94 warga asing ditahan operasi yang dilakukan di 43 premis di sekitar Iskandar Puteri dan Kulai, kelmarin kerana bekerja serta tinggal di negara ini tanpa permit atau pas yang sah.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu berusia lingkungan 18 hingga 61 tahun.
Katanya, operasi penguatkuasaan itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasa dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKP) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini.
“Dalam operasi berkenaan, daripada 199 individu diperiksa, seramai 96 individu ditahan kerana didapati bekerja serta tinggal di negara ini tanpa permit atau pas yang sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 38 warga Bangladesh, warga Myanmar (22), warga Indonesia (20), warga Pakistan (enam), warga India (empat), warga Vietnam (dua) dan masing-masing seorang warga Nepal dan warga Thailand,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Rusdi, kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, salah seorang warga asing yang berperanan sebagai pengurus premis ditahan di bawah Seksyen 55E Akta imigresen 1959/63.
“Kita juga menahan dua orang warga tempatan yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










