ALOR SETAR: Pas bukan lagi parti kecil yang boleh diperlekehkan, sebaliknya menjadi sebuah gerakan Islam arus perdana yang semakin diterima rakyat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, fakta menunjukkan Pas meraih lebih 2.4 juta undi ketika itu yang membuktikan parti itu melangkaui sempadan keahlian rasmi yang kurang 900,000 ahli.
“Daripada setiap 10 orang yang mengundi Pas, hanya empat orang ahli, manakala enam orang lagi bukan ahli. Ertinya lebih 1.5 juta rakyat Malaysia yang tidak pernah mendaftar sebagai ahli sanggup memberi undi, harapan dan kepercayaan kepada perjuangan ini.
“Angka itu jelas menunjukkan Pas bukan lagi parti milik ahli semata-mata, sebaliknya menjadi parti rakyat yang diyakini kerana menawarkan politik bersih, berprinsip dan berasaskan solusi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.
Katanya, amanah tersebut besar dan berat kerana Pas bukan sahaja perlu menjaga ahli malah mesti menunaikan kepercayaan jutaan rakyat di luar parti.
“PRU15 hanyalah permulaan tetapi PRU16 adalah penentu sama ada Pas mampu membuktikan dirinya bukan sekadar parti terbesar tetapi juga parti yang boleh menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa masa depan Pas dan Malaysia sangat bergantung kepada anak muda serta pengundi bandar, terutamanya selepas pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik.
Jelasnya, PRU15 menyaksikan lebih enam juta pengundi baharu disenaraikan, majoritinya anak muda yang celik teknologi, berani bersuara, kritikal terhadap autoriti dan peka kepada isu semasa.
Katanya, sokongan anak muda di kawasan bandar terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 yang digelar sebagai ‘gelombang hijau’ adalah bukti penolakan mereka terhadap politik lama yang penuh skandal.
“Namun sokongan itu masih rapuh dan ibarat benih yang baharu tumbuh justeru Pemuda Pas mesti buktikan dasar Islam sebagai solusi praktikal kepada isu ekonomi, sosial dan politik. Pendekatan kepada anak muda mesti bersifat dialog, libatkan mereka dalam proses merangka dasar dan beri ruang mereka memimpin aktiviti.
“Bila suara mereka didengar, mereka akan terus setia bersama perjuangan ini. Carilah kumpulan-kumpulan anak muda yang masih belum berjaya kita dekati terutamanya kumpulan enam orang (atau 60 peratus) yang belum menjadi ahli seperti disebutkan tadi.
“Mereka ada yang pakai seluar jeans, pakai topi, ‘remp’ ekzos RXZ, ada yang setiap hari duduk atas jalan raya hantar makanan, selalu buat ‘live’ tengah malam, mahir buat konten, ada yang jadi ‘influencer’, minat menyanyi, mendaki dan ada juga yang sibuk dengan kerjaya hingga tak sempat ambil tahu apa yang kita perjuangkan di Parlimen,” katanya.-UTUSAN










