PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor digesa supaya menyiasat dan menentukan hukuman yang setimpal bagi pesalah terlibat dengan aktiviti pelupusan sampah secara haram di negeri itu.
Ia susulan pendedahan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim bahawa lebih 100 tapak pelupusan sampah beroperasi secara haram telah dapat dikesan di sekitar Negeri Selangor, setakat tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Pensyarah Kanan Pengajian Umum, Universiti Poly-Tech Malaysia, Dr. Mohd Fauzi Fadzil berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih tegas bagi menghentikan kebakaran tapak pelupusan sampah haram di negeri berkenaan.
Katanya, sehingga kini, hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengikut bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor bagi kesalahan melibatkan pelupusan sampah secara haram, adalah kompaun dan rampasan tanah.
Beliau berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah haram itu bukan sahaja memberi kesan kepada penyebaran penyakit dan kemusnahan biodiversiti malah turut mengundang insiden kebakaran yang sangat mudah berlaku di kawasan tersebut.
Tapak pelupusan sampah haram juga katanya, memberi kesan kepada penurunan harga hartanah setempat.
“Sepanjang Januari sehingga Julai tahun ini, tiga insiden kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah haram telah berlaku di sekitar Negeri Selangor, iaitu di Rawang, Hulu Selangor dan Gombak.
“Kesan paling ketara melibatkan tapak pelupusan sampah haram di Negeri Selangor berlaku pada Julai lalu yang mengakibatkan kebakaran besar seluas kira-kira empat hektar.
“Kebakaran tersebut yang berlaku di kawasan M Residence 2, Rawang memerlukan masa yang panjang untuk dipulihkan kerana beberapa titik panas dikesan menyebabkan proses pemadaman berterusan selama 20 jam tanpa henti.
“Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menggerakkan segala aset yang ada seperti drone dan jentera berat bagi mengawal kesan kebakaran di tapak haram tersebut, termasuk pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pasukan Tindak Cepat (Pantas) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Fauzi berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah haram tidak dapat dibenteras secara berkesan kerana wujud pengusaha industri yang memilih jalan mudah untuk melupuskan sampah tanpa menggunakan khidmat kontraktor pengurusan sampah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Justeru katanya, wujud cadangan oleh kerajaan negeri untuk meminda undang-undang kecil Majlis Kerajaan Tempatan bagi memberi lebih kuasa menyiasat kepada agensi terlibat dan meningkatkan hukuman penjara sehingga dua tahun kepada pengusaha tapak pelupusan sampah haram.
“Tidak dapat dinafikan kos pelupusan sampah menggunakan kontraktor berdaftar adalah lebih tinggi, namun pengurusannya lebih selamat kerana mengikut peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengusaha industri terhadap kos pelupusan sampah yang murah menyebabkan ada segelintir pihak menjadikan tanah milik persendirian sebagai tapak pelupusan sampah haram.
“Kewujudan tapak pelupusan sampah haram dalam tanah persendirian secara sembunyi makin menyukarkan PBT untuk mengesan dan menghentikan aktiviti tidak beretika tersebut,” katanya. – UTUSAN










