Tong asid hidroklorik di tapak sampah haram terbakar

Tong asid hidroklorik di tapak sampah haram terbakar

Sampah haram
PASUKAN bomba giat memadam kebakaran lebih 50 tong 200 liter asid hidroklorik yang dibuang secara haram di tapak pelupusan sampah tidak diwartakan di Jalan Ijok, Batu 23, dekat Kampung Seri Sentosa, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 50 tong asid hidroklorik yang dibuang secara haram di tapak pelupusan sampah tidak diwartakan terbakar di Jalan Ijok, Batu 23, dekat Kampung Seri Sentosa di sini, hari ini.

Kepulan asap hitam akibat kejadian tersebut juga jelas kelihatan pada jarak lebih dua kilometer dari lokasi terutama di kawasan perumahan sekitar Bandar Seri Coalfield dan Daunan Worldwide di Bandar Puncak Alam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.08 petang sebelum menggerakkan sepasukan dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), iaitu Bestari Jaya, Selayang dan Rawang ke tempat kejadian.

“Menurut laporan komander operasi, kebakaran melibatkan sampah berkeluasan anggaran 7,500 kaki persegi, terdiri daripada tong 200 liter asid hidroklorik dianggarkan lebih 50 tong.

“Kerja-kerja pemadaman dilakukan dan pasukan Hazmat BBP Selayang dihantar ke lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya operasi pemadaman dilakukan oleh 14 pegawai dan anggota dibantu tiga jentera dari kesemua BBP yang dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kira-kira setahun yang lalu Utusan Malaysia melaporkan Tapak pelupusan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor di sini, yang dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar de­ngan keluasan kira-kira 52 hektar.

Ia berlaku ekoran aktiviti pelupusan sampah, sisa industri, pembinaan dan domestik oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kawalan pihak ber­kuasa.

Bagaimanapun pada 15 Ogos lalu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mendakwa sembilan tapak yang menjadi tempat pelupusan sampah haram ditutup sepenuhnya selepas diserbu pihak berkuasa.

Tindakan tegas itu dilakukan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi Ops Wangi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×