KUALA SELANGOR: Kawasan tapak pelupusan sampah haram yang menjangkau keluasan kira-kira 52 hektar dekat Kampung Seri Sentosa dan sekitarnya sekali lagi digempur Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Sebanyak dua jentera disita oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melibatkan 25 pegawai dan anggota penguatkuasa.
Menurut MPKS, operasi yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 3 petang itu memfokuskan pemantauan serta penguatkuasaan di dua lokasi tumpuan pembuangan sampah haram iaitu Lot 2717, Batu 22, Ijok dan Lot 17670, Harmoni.
“Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengambil tindakan sitaan terhadap sebuah jentera pengendalian sampah di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007.
“Selain itu, satu kompaun dikeluarkan kerana kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan sebelum ini, diikuti satu kompaun tambahan di bawah undang-undang kecil yang sama serta pengeluaran satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan,” katanya, semalam.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS pula menguruskan logistik lori pengangkut bagi tujuan penyitaan jentera serta mengeluarkan satu kompaun berkaitan kesalahan pembuangan sampah haram.
Sementara itu, di lokasi kedua iaitu Lot 17670, Harmoni, Ijok, sebuah jentera excavator tidak dapat disita kerana berada dalam keadaan tidak berfungsi selain tiada jentera pengendalian sampah haram lain ditemui di kawasan tersebut.
Namun, notis Mengkehendaki Kacauganggu Dihapuskan serta satu kompaun dikeluarkan di kawasan tersebut.
“Secara keseluruhan, operasi yang melibatkan pemantauan di dua lokasi menyaksikan satu sitaan jentera, pengeluaran dua notis dan empat kompaun,” ujarnya.
Utusan Malaysia tahun lalu melaporkan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor yang dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar.
Keluasan kawasan itu melebihi separuh daripada keluasan Istana Negara yang boleh memuatkan 72 padang bola sepak, 12 Menara Berkembar Petronas atau tiga kompleks Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Bagaimanapun, minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan isu tapak pelupusan sampah haram di negeri ini akan diperangi habis-habisan dengan beliau sendiri akan mengetuai sendiri urusan tersebut. – UTUSAN










