Tapak sampah haram baharu di Bandar Puncak Alam

Tapak sampah haram baharu di Bandar Puncak Alam

Sampah haram Puncak Alam
HARRISON Hassan (tengah) bersama wakil agensi dan penduduk meninjau kawasan yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram berhampiran perumahan Rentak Perdana dan Ritma Perdana di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Belum pun selesai isu tapak sampah haram di Kampung Seri Sentosa berhampiran Sungai Buloh, kini muncul pula kawasan baharu di kawasan perumahan di Bandar Puncak Alam dijadikan pusat pengumpulan puluhan tan metrik sisa binaan, industri dan domestik.

Keadaan itu membimbangkan hampir 10,000 penduduk di perumahan Rentak Perdana dan Ritma Perdana apabila masalah tersebut selain mencetuskan bau ia turut menyebabkan serangan lalat dan nyamuk kerana terletak pada jarak kurang dari 500 meter.

Malah, di kawasan yang asalnya merupakan ladang sawit itu kini menjadi paya apabila sisa terkumpul hari demi hari di tapak seluas hampir 1.2 hektar menyebabkan kawasan berkenaan tertambak dan tiada saliran yang baik bagi mengalirkannya takungan air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Persatuan Penduduk Rentak Perdana, Ahmad Hosni Mubara, 42, berkata, pengumpulan sampah di situ dipercayai berlaku pada tahun ini sebelum aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Ogos lalu.

“Ada aduan daripada penduduk kepada jawatankuasa sebelum satu aduan rasmi dibuat kepada MPKS yang kemudian menutup laluan dengan mengorek tanah serta meletakkan konkrit pada laluan masuk.

“Isu tapak tersebut menjadi serius kerana ia mula mencetuskan bau sejak bulan lalu dan menyebabkan masalah banyak lalat serta nyamuk,” katanya ketika ditemui di tapak tersebut di sini, hari ini.

Sampah haram Puncak Alam
TIMBUNAN sampah haram terdiri daripada sisa binaan, industri dan domestik tertambak di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar sehingga menyebabkan takungan air menjadi paya yang tidak mengalir, di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Wakil penduduk Rentak Perdana, Ikhwan Hafizi, 29, memberitahu timbunan sampah mengundang haiwan berbahaya serta berbisa seperti ular dan tikus yang dibimbangi masuk ke kawasan perumahan.

“Kita harap ada penyelesaian yang tuntas, sampah-sampah itu dibawa keluar segera dan air paya dialirkan keluar,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan memaklumkan, isu tersebut dibangkitkan kepada agensi lain selain MPKS termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita minta supaya pemilik tanah dikenakan tindakan kerana membiarkan tanah mereka dijadikan tapak sampah haram. Itu kita serahkan kepada PDT untuk melakukan langkah penguatkuasaan,” jelasnya.

Penyelia Kawasan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Shahril Adlan Ahmad memberitahu, kawasan tersebut sudah pun ditutup dan langkah pembersihan serta membawa keluar sampah-sampah tersebut akan diajukan kepada Yang Dipertua MPKS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN