MB Selangor ketuai urusan perangi tapak pelupusan sampah haram

MB Selangor ketuai urusan perangi tapak pelupusan sampah haram

Sampah haram
AMIRUDIN Shari berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu tapak pelupusan sampah haram di negeri ini akan diperangi habis-habisan pada tahun ini termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sendiri akan mengetuai sendiri urusan tersebut bersama pejabat daerah dan tanah (PDT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah haram.

“Saya akan banteras habis-habisan, saya akan turun bersama PBT, PTD, semua pihak kerana Mac ini, Waste to Energy (WTE) (insinerator) akan siap. Kita juga ada tapak pelupusan sampah Bukit Tagar.

“Sebab itu kita akan banteras dan minta kerjasama, sesiapa yang bersekongkol, tidak bertanggungjawab, kita akan ambil tindakan tegas supaya Selangor bebas daripada kawasan pembuangan sampah haram yang memberikan impak buruk kepada kualiti hidup masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor, hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan pembersihan dan pengindahan kampung-kampung di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi 2026.

Lebih 100 tapak pelupusan sampah haram ada di negeri ini, malah Utusan Malaysia pada tahun lalu melaporkan dekat Kampung Seri Sentosa di Kuala Selangor terdapat sebuah tapak pelupusan sampah yang keluasannya didapati semakin melebar daripada kira-kira 20 hektar kepada 52 hektar.

Ia berlaku ekoran aktiviti pelupusan sampah, sisa industri, pembinaan dan domestik oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kawalan pihak ber­kuasa.

Amirudin ketika ditemui menegaskan, pembersihan akan dilakukan di kawasan-kawasan tumpuan iaitu kerap menerima laporan seperti di Hulu Langat dan beberapa tempat lain.

“Jadi kita akan gunakan wang itu (peruntukan) untuk membina penyelesaian pungutan sisa pepejal yang lebih baik berbanding meletak tong sampah (pusat pengumpulan) di luar kawasan kampung.

“Termasuk di kawasan (Kampung Seri Sentosa). Saya sudah bercakap dengan PBT, PDT di (berkenaan) kawasan-kawasan pelupusan sampah haram. Kita akan perang habis-habisan pada tahun ini untuk kita tutup. Saya harap tak perlu tunggu lama, malah pada bulan Ramadan pun kita akan bekerja supaya masalah itu ditangani,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN