Sikap tidak sabar pandu di lorong kecemasan bawa risiko kemalangan

Sikap tidak sabar pandu di lorong kecemasan bawa risiko kemalangan

ANGGOTA JPJ Negeri Sembilan ketika melakukan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seremban pada hujung minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sikap tidak sabar segelintir pemandu yang menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas boleh mengundang kemalangan dan risiko bahaya lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, itu antara faktor dikesan pihaknya dalam operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Seremban pada hujung minggu lalu.

“Hasil pemerhatian dan soal siasat mendapati, pelanggaran penggunaan lorong kecemasan di lebuh raya berlaku kerana beberapa faktor antaranya sikap pemandu yang tidak sabar, ramai yang gunakan lorong kecemasan ini untuk memotong kesesakan atau mempercepatkan perjalanan walaupun jelas ia dilarang.

“JPJ ingin menegaskan bahawa lorong kecemasan hanya dikhaskan untuk kenderaan kecemasan seperti ambulans, bomba dan polis, tindakan menggunakan lorong kecemasan tanpa sebab munasabah merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, kesalahan itu bukan sahaja menghalang pergerakan pasukan penyelamat tetapi juga meningkatkan risiko kemalangan maut.

“Ketika musim cuti atau waktu puncak ini ada pemandu yang mengambil jalan mudah dengan menyalahgunakan lorong kecemasan dan kesannya pasukan penyelamat mungkin terlewat sampai ke lokasi kritikal.

“Paling menakutkan mungkin boleh mengakibatkan kemalangan kepada motosikal atau kenderaan rosak yang berada di lorong kecemasan, jadi risiko pelanggaran itu tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi tersebut, sejumlah 48 kesalahan menggunakan lorong kecemasan telah direkodkan dalam tempoh dua hari.

Jelas Hanif Yusabra, ia melibatkan 22 kesalahan Notis P22 iaitu saman yang dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati melakukan kesalahan di lokasi kejadian manakala 26 kesalahan Notis 114 (Temu Siasat) iaitu notis panggilan untuk sesi temubual atau siasatan.

“Notis 114 ini selalunya digunakan oleh JPJ ketika menjalankan operasi penyamaran atau menggunakan rakaman kamera untuk mengesan pesalah trafik. Dalam kes ini, pesalah tidak disaman terus di tempat kejadian, tetapi dipanggil untuk siasatan lanjut berdasarkan bukti yang dikumpul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×