Sembilan wakil rakyat terima ugutan video seks palsu

Sembilan wakil rakyat terima ugutan video seks palsu

FAHMI Fadzil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai sembilan orang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menjadi sasaran ugutan yang menggunakan modus operandi sama menerusi emel berunsur video lucah yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI) beserta tuntutan bayaran AS$100,000 sejak Jumaat lalu.

Antara wakil rakyat yang diugut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen (MP) Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli , MP Subang, Wong Chen; MP Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Sasaran ugutan juga melibatkan Ahli Dewan Negara, Senator Manolan Mohamad; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi; Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Fahmi Ngah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zen.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diarahkan untuk bekerjasama rapat bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar emel berkenaan melalui aplikasi Gmail.

“Hasil semakan mendapati emel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Rafizi menjadi orang pertama yang menerima e-mel ugutan tersebut diikuti Wong Chen dan sembilan yang lain.

Bagaimanapun Rafizi mendedahkan bahawa beliau sering berdepan dengan cubaan godaman ke atas telefon dan komputer ribanya, termasuk amaran rasmi daripada Apple pada 14 November 2024, 6 Mac, 25 Jun dan 3 September 2025.

“Saya tidak rasa mereka menghabiskan jutaan ringgit untuk membayar firma AI membuat video lucah yang ada muka saya. Edit video lama dan letak muka saya, kemudian ambil tangkap layar. Itu lebih mudah,” katanya.

Tambah Rafizi , beliau menjadi sasaran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan terakhir dan menganggap tindakan itu sebahagian daripada usaha terancang untuk menjatuhkan reputasinya.

Selain itu, Wong Chen, menganggap ugutan yang sama diterimanya seperti sembilan yang lain sebagai satu taktik yang amat malas dan tidak profesional walaupun menggunakan teknologi AI.

Beliau berkata, satu-satunya perbezaan antara foto yang diterimanya dan foto yang diterima Rafizi itu hanyalah pada bahagian wajah sahaja.

“Selain wajah kami, kedua-dua gambar itu adalah sama, dari lipatan bantal dan selimut, bilik, katil sehingga individu yang bogel dalam gambar. Dalam erti kata lain, individu yang sama telah cuba memeras kami berdua, tetapi secara berasingan.

“Apa yang membingungkan ialah individu tersebut melakukannya dengan cara yang sangat malas dan tidak profesional sehingga menggunakan gambar yang sama,” katanya.

Mohammad Taufiq Johari turut berkata, beliau tidak dapat memastikan motif sebenar pihak yang bertanggungjawab di sebalik ugutan itu.

Beliau turut mengakui tidak mengenali pemilik akaun e-mel yang dipercayai cuba mengugutnya melalui kiriman video lucah palsu berasaskan teknologi AI yang memaparkan wajahnya.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam selepas terkejut menerima kiriman video berkenaan.

“Kiriman ini bukan sekadar memeras ugut, malah merupakan satu jenayah siber serius yang bertujuan menyebarkan fitnah serta pornografi palsu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN