PRN Sabah bakal jadi medan ‘free for all’

PRN Sabah bakal jadi medan ‘free for all’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan kelak menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan isu penggabungan parti-parti politik melalui pendekatan ‘free for all’ (bebas untuk semua).

Penganalisis politik tempatan, Prof. Madya Dr. Romzi Ationg berkata, keadaan politik masa kini ditambah dengan perbezaan kenyataan beberapa pemimpin parti menyebabkan rakyat semakin keliru terhadap hala tuju sebenar gabungan politik yang ada.

“Setiap hari kita dengar kenyataan berbeza walaupun daripada pasukan yang sama. Bila berlaku percanggahan sebegini, kerjasama tidak akan tercapai sepenuhnya. Jadi pendekatan terbaik adalah biarkan semua parti bertanding dan rakyat sendiri yang memilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Romzi berkata, free for all bukanlah bermaksud pertarungan sengit yang hanya melahirkan perpecahan, sebaliknya ia boleh dijadikan medan perlawanan persahabatan (friendly match) bagi menilai kekuatan parti masing-masing.

“Di peringkat Persekutuan, kita sudah lihat bagaimana pertandingan terbuka akhirnya melahirkan kerajaan perpaduan. Jadi, Sabah juga boleh mengambil iktibar daripada situasi itu,” katanya.

Katanya, pendekatan itu juga dapat mengelakkan berlarutan polemik pembahagian kerusi yang sering menimbulkan pertikaian dalam kalangan parti gabungan.

“Daripada terus berbalah tentang siapa patut bertanding di kawasan mana, lebih baik biarkan rakyat tentukan melalui undi kerana itu lebih adil dan telus,” katanya.

Dr. Romzi mengakui bahawa selepas PRN, tidak mustahil wujud kerjasama baharu antara gabungan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sama seperti model Kerajaan Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN