GRS berpotensi raih 26 kerusi DUN -Ilham

GRS berpotensi raih 26 kerusi DUN -Ilham

GRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi meraih sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pertarungan sengit Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Firma penyelidikan bebas Ilham Centre berkata, hasil kajian mendapati GRS masih mendapat sokongan yang mencukupi bagi menjadi parti untuk mengetuai perundingan bersama parti tempatan dan calon bebas boleh melepasi garis majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

“Faktor yang memberikan kelebihan GRS berbanding parti lain ialah keuntungan sebagai penyandang imej sederhana Hajiji Noor boleh diterima rentas kepimpinan parti lain dan mengekalkan sokongan di kawasan pantai barat kubu kuat GRS.

“Selain itu, kempen yang membawa naratif kestabilan dan tenang menarik perhatian pengundi.

“Atas faktor-faktor berikut, GRS dijangka memperolehi sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi menjadikan parti yang meraih jumlah terbesar kerusi selamat berbanding parti lain.

“Ini menjadikan GRS akan membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Ilham Centre menjangkakan Parti Warisan (Warisan) selesa di enam kerusi kubu kuat mereka terutamanya di pantai timur Sabah dan berpotensi menggandakan angka ini kepada 14 kerusi sekiranya berlaku perubahan undi di kerusi bandar dan sengit.

“Barisan Nasional (BN) dijangka memperoleh sembilan kerusi. Sekiranya berjaya menawan kerusi tambahan kategori DUN sengit, itu adalah kerusi bonus kepada BN.

“Pakatan Harapan (PH) pula hanya ada empat kerusi selesa setakat ini,” katanya.

Ilham Centre berkata, terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi.

“Antara 13 kerusi sengit ini, Perikatan Nasional (PN) hanya berpotensi di dua kerusi iaitu Karambunai dan Sugut.

“Sekiranya gagal mengutip sebarang kerusi ini, ia akan menjadi tamparan hebat kepada PN untuk melakukan ‘wake-up call’ selepas PRN nanti,” katanya.

Ilham berkata, situasi DUN tergantung masih boleh distabilkan oleh GRS dengan peluang menambah kerusi melalui kawasan sengit, kerjasama PH, serta rundingan bersama parti tempatan dan calon Bebas.

Selain itu Ilham Centre berkata, faktor yang tidak boleh dipandang rendah ialah peratusan keluar mengundi.

“Semakin rendah keluar mengundi, ianya akan menguntungkan parti penyandang.

“Dengan faktor dibincangkan di atas, kami menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi,” katanya.

Ilham Centre telah melaksanakan kajian lapangan bermula 15 November sehingga 27 November melibatkan seramai 1,500 responden. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×