Warisan yakin jadi pilihan lebih stabil

Warisan yakin jadi pilihan lebih stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANGGAR: Parti Warisan yakin parti itu berupaya membentuk kerajaan tunggal di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, menjadikan aspirasi tersebut sebagai hala tuju utama perjuangan Warisan.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, Sabah pernah melalui pentadbiran kerajaan tunggal sebelum ini dan pengalaman itu membuktikan kestabilan lebih mudah dicapai tanpa kebergantungan kepada gabungan yang rapuh.

“Kita pernah melalui sebuah kerajaan tunggal yang memimpin Sabah. Kita juga pernah melihat kerajaan yang dibentuk melalui gabungan, dan atas gabungan itu juga mereka jatuh.

“Kita turut melihat bagaimana apabila mereka berkata ‘kami bergabung’, tetapi akhirnya keluar kerana perebutan kerusi kerana masalah dalam perundingan kerusi. Dan itulah masalah yang kita hadapi selama ini.

“Mungkin juga ada yang bertanya, ‘bukankah ada juga yang keluar dari parti?’ Ya, ada. Kita berterima kasih atas jasa mereka, tetapi kita juga tahu bahawa sebahagian daripada mereka keluar kerana tidak menjadi calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Warisan satu-satunya parti yang bertanding di semua 73 kerusi.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu sedang mencari mandat cukup untuk mentadbir sendiri, malah berharap mempunyai majoriti dua pertiga.

Dalam pada itu, Leiking turut berharap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyokong perjuangan parti terbabit selepas mendakwa negeri itu ‘sedang sakit’.

Katanya, perjuangan parti itu yang membawa slogan ‘Selamatkan Sabah’ pada PRN kali ini bersesuaian dengan aspirasi bekas presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Jika beliau percaya bahawa keadaaan tidak sihat ini benar, saya percaya beliau pun mungkin mahu menyelamatkan Sabah bersama dengan kami.

“Sebab beliau tahu ada kesakitan pada Sabah beliau yang cakap bukan saya yang cakap. Kami sudah lama tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN