PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sokongan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepanjang hampir tiga tahun pentadbirannya menjamin kestabilan politik negara.
Perdana Menteri berkata, kestabilan tersebut membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara tanpa terganggu oleh sebarang pergolakan politik.
“Beliau (Abang Johari) langsung tidak merisaukan saya dan ini membantu saya untuk fokus. Beliau (juga) boleh fokus, sepak terajang politik itu tidak menggugat, tidak menyebabkan kita hilang pedoman.
“Saya ucap terima kasih kerana sepanjang hampir tiga tahun saya jadi Perdana Menteri, saudara memberikan kekuatan dan dukungan yang sangat padu,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti di sebuah hotel di Sarawak, malam tadi.
Kata Anwar, negara bukan hanya dapat mencatat pertumbuhan yang meyakinkan kerana keselamatan terjamin, hasil daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk tentera, polis, pasukan keselamatan dan penjawat awam.
Malah katanya, kestabilan politik juga memainkan peranan penting dalam membolehkan Malaysia bergerak yakin di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Bayangkan jika politik tidak stabil, sukar bagi kita membina keyakinan, termasuk dalam berurusan dengan pelabur industri,” katanya.
Anwar berkata, walaupun negara kekal stabil, isu-isu politik di beberapa kawasan menjelang pilihan raya kadangkala boleh mencetuskan ketegangan.
“Kadangkala kenyataan-kenyataan yang dilontarkan keterlaluan. Kalau di Semenanjung, perbincangan kadangkala menghina kaum lain.
“Dari agama, budaya atau suku kaum manakah kita belajar menanam kebencian antara satu sama lain? Di mana nilai kemanusiaan kita? Masih ada, dan perkara ini harus ditangani dengan bijak,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sambil menegaskan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa kaum lain seperti Iban, Melanau, Bidayuh, Cina dan Tamil juga penting.
Katanya, Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama negara, namun pada masa yang sama mengingatkan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Penguasaan Bahasa Melayu tidak bermakna meremehkan bahasa Inggeris. Usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bukan untuk meninggalkan Bahasa Melayu.
“Di Sarawak, usaha ini selaras dengan apa yang dilaksanakan oleh Premier, dan memperkaya kepelbagaian bahasa tidak merugikan negara sama sekali,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa isu agama juga serupa, dengan menyatakan Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai agama, dan keadaan itu bukan perkara baharu.
Menurutnya, konsep memberi ruang kepada semua, walaupun Islam merupakan agama persekutuan, sedikit berbeza di Sarawak, namun ia tetap menekankan kepentingan merai, menghormati dan memuliakan setiap agama tanpa menimbulkan sebarang permasalahan.
“Saya tekan perkara ini kerana Sarawak, seperti mana berulang kali saya sebutkan, syukur ia masih belum tertekan dengan masalah-masalah suku kaum dan agama seperti mana berlaku di beberapa negeri di Semenanjung. Jagalah negeri ini dengan baik, jagalah perpaduan kita baik,” katanya.-UTUSAN










