Pemaju ambil kesempatan Kampung Sungai Baru

Pemaju ambil kesempatan Kampung Sungai Baru

JOHARI Abdul Ghani dalam temubual khas Podcast Utama TV3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas-bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat perlu mengambil tanggungjawab berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, isu yang berlaku pada 11 September lalu tidak sepatutnya timbul, tetapi diperburukkan oleh campur tangan politik dan tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada pihak tertentu.

Katanya, selain itu pemaju juga mengambil kesempatan terhadap penduduk untuk menerima tawaran mereka.

“Empat pemimpin yang perlu bertanggungjawab ialah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Tan Sri Annuar Musa; Datuk Seri Shahidan Kassim serta bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

“Ketika saya menjadi wakil rakyat pada PRU13, saya menasihatkan mereka supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan dengan pemaju kerana kekurangan kekuatan kewangan dan risiko pengambilan tanah.

“Namun selepas saya kalah pada PRU14, pemaju mula bertindak dan 67 peratus penduduk menandatangani persetujuan, walaupun 33 peratus lagi menolak. Inilah punca masalah yang timbul,” katanya menerusi Podcast Utama Buletin TV3 hari ini.

Katanya, Akta Pengambilan Tanah 1960 telah digunakan secara tidak wajar bagi membolehkan pemaju menggabungkan rumah flat dan rumah teres untuk pembangunan semula walaupun ada penduduk menolak.

Dalam pada itu, Johari berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.

Katanya, tanah Kampung Sungai Baru adalah anugerah Sultan Selangor kepada orang Melayu pada satu ketika dahulu.

Justeru itu kata beliau, para pemaju perlu membina perumahan yang mampu dimiliki oleh orang Melayu kerana asal-usul tanah itu telah ditentukan sebagai milik komuniti Melayu.

“Dahlah dapat tanah murah, lepas itu nak buat projek mahal. Kalau Melayu tak mampu beli, kemudian dikatakan projek itu untuk orang Melayu.

“Masalahnya bukan saya pertikaikan, tapi soal tanah Kampung Baru ini memang unik, bukan tanah luar,” katanya.

Beliau berkata terdapat bukti bahawa kawasan berkenaan diiktiraf sebagai tanah hak milik orang Melayu.

“Dengan bukti mengatakan bahawa British Resident memberitahu bahawa sebuah enclave (kawasan kecil) ini adalah milik orang Melayu.

“Kemudian bila kita merdeka, Selangor jaga kawasan ini. Ada seseorang beritahu saya iaitu salah seorang EXCO (Selangor) mengatakan keputusan EXCO itu kita gazetkan tanah.

“Jadi bila wilayah (Persekutuan) ambil alih, ini yang terlepas pada 1974,” katanya.

Kampung Sungai Baru sebelum ini menjadi tumpuan apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.

Pada 2021, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.

Arahan pengosongan minggu lalu itu merupakan percubaan kedua pihak berkuasa sejak Julai untuk mengeluarkan 14 penduduk di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN