Pelaksanaan BUDI95 lancar, tiada aduan diterima - Hui Ying

Pelaksanaan BUDI95 lancar, tiada aduan diterima – Hui Ying

LIM Hui Ying (tengah) melihat seorang anggota polis, Koperal Jonathan Anak Philip menebus Budi Madani RON95 (BUDI95) ketika meninjau pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif BUDI95 di stesen minyak Shell di Jelutong, George Town, Pulau Pinang hari ini. UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) membabitkan anggota tentera dan polis hari ini, berjalan lancar tanpa sebarang aduan teknikal diterima, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan mengenai gangguan sistem atau masalah pengisian minyak diterima dari mana-mana stesen minyak di seluruh negara.

“Segala proses berjalan lancar, tiada aduan berkaitan kesukaran mengisi minyak. Apa yang penting, hanya warganegara Malaysia yang layak menikmati harga subsidi ini,” katanya ketika melancarkan Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 di stesen minyak Shell di Jelutong, hari ini.

Hui Ying berkata, BUDI95 dilancarkan secara rasmi pada 30 September nanti dan rakyat diminta bersabar dan tidak berpusu-pusu ke stesen minyak.

“Ini kerana harga RON95 bersubsidi akan kekal pada RM1.99 seliter. Kerajaan akan memantau dengan rapi pelaksanaannya dan akan bertindak secara proaktif sekiranya timbul sebarang isu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui BUDI95, seramai 16.4 juta warganegara dengan lesen memandu aktif layak menerima kuota petrol bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

“Mereka boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter. Harga ini juga jauh lebih rendah berbanding Singapura (RM9.02 seliter) dan Thailand (RM5.68 seliter).

“Sebelum BUDI95 diperkenalkan, Kerajaan menanggung subsidi RON95 sekitar RM8 bilion setahun. Dengan BUDI95, unjuran penjimatan adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia. Penjimatan ini akan digunakan semula untuk manfaat rakyat melalui pelbagai program kesejahteraan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang masalah berkaitan MyKad boleh diselesaikan segera dengan penggantian cip baharu secara percuma di Jabatan Pendaftaran Negara sehingga 7 Oktober ini.

“Untuk pembelian RON95 bersubsidi, MyKad mesti digunakan sebagai pengesahan warganegara Malaysia. Selain itu, kerajaan turut menyediakan pilihan pembayaran digital melalui e-dompet TNG serta aplikasi rasmi syarikat minyak seperti Setel (Petronas), CaltexGo dan Shell App,” katanya.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga melanjutkan waktu operasi kaunter hujung minggu sehingga 26 Oktober bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu mereka.

“Kerajaan juga sedang berbincang dengan syarikat pengendali e-hailing untuk memperincikan mekanisme khas agar golongan pemandu tidak terjejas dan terus menikmati subsidi petrol,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN