PETALING JAYA: Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Edward Wong kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.
Edward yang berasal dari Pulau Pinang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.
Namun permohonannya ke enam universiti awam termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) ditolak.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu menimbulkan tanda tanya kerana Edward sepatutnya layak mengikut sistem merit.
“Lebih menghairankan, pada Julai lalu Edward ditawarkan jurusan perakaunan di UM melalui Saluran Terbuka, iaitu laluan berbayar dengan yuran yang tinggi, tetapi tidak melalui saluran UPU.
“Persoalannya, kenapa pelajar sehebat Edward hanya ditawarkan melalui Saluran Terbuka?” katanya selepas menerima kunjungan Edward bersama keluarganya ke Ibu Pejabat MCA hari ini.
Beliau berkata, Edward turut menerima tawaran USM dalam bidang pengurusan, sedangkan pilihannya adalah perakaunan.
Katanya, MCA akan membawa isu itu ke perhatian pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan segera mengenai proses pemilihan kemasukan ke universiti awam.
“Saya bersama pasukan MCA akan berusaha membantu Edward menuntut keadilan termasuk pelajar lain yang mungkin senasib. Jika sistem ini ada kelemahan, ia mesti diperbaiki demi masa depan anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN










