PETALING JAYA: Penambahbaikan menyeluruh terhadap struktur Tingkatan Enam perlu dilaksanakan segera termasuk perjawatan hakiki dan elaun khas bagi guru Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, ketika ini kebanyakan guru Tingkatan Enam masih perlu mengajar kelas di tingkatan lain kerana tiada perjawatan hakiki yang dikhususkan untuk mereka.
Katanya, langkah itu lebih mendesak berbanding cadangan memindahkan pengurusan Tingkatan Enam ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Memindahkan pengurusan Tingkatan Enam dari Kementerian Pendidikan bukanlah satu keperluan mendesak ketika ini.
“Sebaliknya, fokus utama perlu diberikan kepada usaha mencari jalan keluar untuk menyetarakan atau menjadikan Tingkatan Enam lebih baik berbanding program Asasi dan Matrikulasi
“Apatah lagi guru STPM terpaksa memikul tanggungjawab tambahan yang boleh menjejaskan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar Tingkatan Enam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program pra universiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan buat masa ini selepas kerajaan memutuskan untuk menangguhkan cadangan meletakkannya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira kekangan sistem dan skim perkhidmatan sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, Fouzi berkata, Tingkatan Enam perlu dijenamakan semula bagi mencerminkan suasana pengajian prauniversiti yang setanding dengan program Asasi dan Matrikulasi.
Katanya, Tingkatan Enam kurang mendapat sambutan dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disebabkan persekitarannya yang masih terikat dengan suasana sekolah biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, NUTP menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk menaik taraf kemudahan kelas serta pengurusan sedia ada.
Fouzi berkata, penangguhan cadangan pemindahan pengurusan Tingkatan Enam ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi adalah langkah yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan dalam ekosistem persekolahan harian.
Beliau berkata, tempoh masa yang lebih panjang diperlukan untuk membuat kajian menyeluruh serta menilai kesediaan di peringkat akar umbi sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
Katanya, sejak awal NUTP mendapati cadangan pemindahan pengurusan itu sukar dilaksanakan berikutan mod pengajian Tingkatan Enam yang masih beroperasi di sekolah menengah harian biasa.
“Perkara ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya Program Matrikulasi dan Tingkatan Enam yang bersifat pra-universiti digabungkan di bawah satu lokasi khas seperti di Kolej Matrikulasi.
“Bagaimanapun, langkah itu akan menimbulkan isu lokaliti bagi guru-guru yang telah bertahun-tahun berkhidmat di sesuatu lokasi sekolah sedia ada,” katanya. – UTUSAN










