KEPUTUSAN Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 memperlihatkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) nasional sebanyak 2.88, rekod tertinggi sejak 2013.
Malah, seramai 1,336 calon memperoleh PNGK 4.00, di samping puluhan calon yang mencapai keputusan tertinggi dalam semua mata pelajaran.
Pencapaian ini membuktikan bahawa STPM terus menunjukkan daya saing yang tinggi serta mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya memenuhi tuntutan pendidikan tinggi yang semakin kompleks.
Namun demikian, kejayaan akademik ini menimbulkan satu paradoks yang jelas dalam sistem tingkatan enam di Malaysia.
Walaupun prestasi pelajar semakin meningkat, struktur pelaksanaan tingkatan enam masih beroperasi dalam bentuk pelbagai mod, iaitu Mod 1, Mod 2 dan Mod 3.
Ketiga-tiga mod ini walaupun berpaksikan kurikulum yang sama, tidak menawarkan pengalaman pembelajaran yang seragam kepada pelajar.
Perbezaan dari segi kemudahan fizikal, persekitaran akademik dan identiti institusi telah mewujudkan jurang yang ketara antara pelajar, sedangkan mereka menduduki peperiksaan nasional yang sama.
Keadaan ini menimbulkan persoalan penting tentang kesaksamaan dalam pendidikan prauniversiti.
Pelajar STPM di sesetengah pusat tingkatan enam menikmati suasana pembelajaran yang menyerupai kolej, lengkap dengan kemudahan yang lebih kondusif untuk pembelajaran aras tinggi.
Namun, terdapat juga pelajar yang masih mengikuti pengajian dalam persekitaran sekolah menengah arus perdana yang lebih padat dan kurang berorientasikan budaya akademik prauniversiti.
Ketidakseimbangan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap pengalaman pembelajaran serta persepsi masyarakat terhadap status tingkatan enam.
Melihat kepada perkembangan semasa, sudah tiba masanya struktur tingkatan enam disemak semula secara menyeluruh.
Penyatuan semua mod tingkatan enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) wajar segera dipertimbangkan sebagai satu langkah reformasi strategik.
Langkah ini bukan sekadar perubahan pentadbiran, tetapi merupakan usaha untuk menyelaras kedudukan STPM dengan sifatnya sebagai pendidikan prauniversiti yang sebenar.
Apabila semua mod disatukan di bawah satu kementerian yang berfokus kepada pendidikan tinggi, ia akan membolehkan pembentukan satu sistem tingkatan enam yang lebih seragam dan tersusun.
Identiti pelajar prauniversiti dapat diperkukuh dengan lebih jelas, sekali gus mengurangkan kekeliruan masyarakat yang sering melihat tingkatan enam sebagai sebahagian daripada pendidikan menengah.
Dalam masa yang sama, penyelarasan ini juga berpotensi memperkukuh pembangunan infrastruktur, standard akademik serta budaya pembelajaran yang lebih hampir dengan persekitaran universiti.
Dari sudut jangka panjang, sistem yang lebih bersepadu akan membolehkan penyelarasan kurikulum, pembangunan kemahiran abad ke-21 serta pengukuhan elemen penyelidikan sejak peringkat prauniversiti lagi.
Ini amat penting dalam usaha melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam era globalisasi dan teknologi digital.
STPM 2025 bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan pelajar, tetapi juga membuktikan kekuatan sistem yang masih relevan dan berdaya saing.
Namun, kekuatan ini perlu disokong dengan reformasi struktur yang setimpal.
Penyatuan segera semua mod tingkatan enam di bawah KPT merupakan langkah yang wajar dipertimbangkan bagi memastikan STPM benar-benar berdiri sebagai sistem prauniversiti nasional yang utuh, seragam dan dihormati.
Sudah tiba masanya STPM tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, tetapi sebagai laluan akademik utama yang mengangkat martabat pendidikan tinggi negara. – UTUSAN
DR. MOHD YUSRI IBRAHIM
AJK Pertubuhan Ilmuan Muslim Malaysia (ILMAN)










