PETALING JAYA: Pas bersedia untuk bersama dalam apa jua bentuk perbincangan atau konvensyen yang dianjurkan khususnya membabitkan semua parti Melayu di negara ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas amat menghargai keterbukaan UMNO yang mengumumkan penubuhan Pasukan Khas bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Katanya, langkah berkenaan mencerminkan kesediaan untuk mengkaji secara mendalam implikasi undang-undang tersebut terhadap rakyat.
“Pas yakin melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu sahajalah kita dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat.
“Suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diangkat secara serius dalam menggubal dasar atau undang-undang berkaitan pembangunan bandar agar ia tidak mengabaikan kepentingan rakyat bawahan, keadilan sosial serta keseimbangan pembangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, Pas terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah serta mempertahankan kesejahteraan negara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU URA secara terperinci sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini. – UTUSAN










