Pas cuba goyahkan kedudukan MCA, MIC dalam BN

Pas cuba goyahkan kedudukan MCA, MIC dalam BN

MAZLAN Ali (kiri) dan Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawaan Pas kepada MCA dan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bukan sekadar percaturan politik, sebaliknya berpotensi mengeruhkan lagi hubungan dengan Barisan Nasional (BN) yang sedia tegang sejak gagalnya kerjasama Muafakat Nasional.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, tindakan Pas itu memberi isyarat jelas bahawa parti berasaskan kaum bukan Melayu tidak lagi mempunyai masa depan dalam BN.

Katanya, pelawaan tersebut juga seolah-olah satu peringatan kepada UMNO bahawa kedudukan MCA dan MIC dalam gabungan itu kini semakin goyah dan boleh digantikan dengan tawaran lebih terbuka daripada PN.

“Dua parti terkuat dalam PN hanyalah Pas dan Bersatu. Parti komponen bukan Melayu seperti Gerakan pun tidak mendapat sambutan, apatah lagi MCA yang berasaskan kaum Cina dan MIC berasaskan kaum India.

“Sekiranya MCA dan MIC menyertai PN, mereka tidak akan ke mana kerana landskap politik Malaysia melihat hanya Bersatu dan Kerajaan Madani lebih dianggap mewakili semua kaum.

“Sebab itu kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ada asasnya apabila menyifatkan pelawaan Pas sekadar usaha memancing parti komponen tanpa membawa sebarang keuntungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelawaan Pas untuk MIC dan MCA menyertai PN sekadar usaha memancing parti komponennya tanpa sesuatu yang menguntungkan.

Beliau berpendapat pelawaan itu bersifat pendirian peribadi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, langkah Pas itu juga boleh dilihat sebagai usaha untuk meminggirkan UMNO dalam BN setelah gagal membawa parti itu bersama dalam PN sebelum ini.

Katanya, tindakan tersebut sekali gus memperlihatkan strategi Pas cuba mengambil kesempatan daripada keresahan MCA dan MIC yang merasakan diri mereka tidak dihargai dalam kerajaan Madani.

“Dalam kerajaan hari ini, parti yang mempunyai kerusi lebih banyak seperti DAP memainkan peranan besar berbanding MCA dan MIC.

“Maka, UMNO mungkin beranggapan usaha Pas ini bertujuan untuk memecah-belahkan BN sekali gus mengukuhkan kedudukan PN sebagai blok pembangkang utama,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kelebihan Pas ketika ini adalah kemampuannya menawarkan lebih banyak kerusi kepada MCA dan MIC berbanding BN yang terikat dengan agihan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Katanya, UMNO kini hanya mampu menumpukan kepada kerusi majoriti Melayu dan sukar untuk memberi laluan kepada MCA serta MIC.

“Dalam keadaan BN perlu berkongsi kerusi bukan Melayu dengan DAP dan PKR, MCA dan MIC tidak lagi mempunyai ruang yang luas untuk bertanding. Sebaliknya, Pas boleh menawarkan lebih banyak peluang kepada mereka pada PRU-16 nanti.

“Namun pada masa sama, jika MCA dan MIC meninggalkan BN, keadaan itu sebenarnya akan memudahkan UMNO mendapat pembahagian kerusi sepenuhnya tanpa perlu memikirkan kedudukan kedua-dua parti tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN