PETALING JAYA: Kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan pembunuhan beramai-ramai dan membiarkan baki rakyat di wilayah itu kebuluran bukan lagi bersifat manusiawi sebaliknya adalah manusia jelmaan syaitan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Israel tidak mungkin sebahagian daripada manusia kerana seseorang insan tidak sanggup melakukan apa yang sedang dilakukan rejim tersebut di Gaza.
Beliau berkata, mereka secara terbuka melakukan pembunuhan beramai-ramai, membunuh lelaki, wanita, kanak-kanak termasuk bayi baru lahir.
Katanya, keganasan rejim Israel mengakibatkan mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat bedilan bom dan roket sehingga ribuan rakyat Palestin terkorban serta cedera.
“Kini mereka dengan kejamnya membiarkan rakyat Gaza mati kebuluran. Mereka nampak. Dunia juga nampak. Kanak-kanak lelaki dan perempuan, orang dewasa, bayi kini hanya tinggal rangka dan kulit yang menegang di atas tulang.
“Tiada harapan. Mereka sedang mati. Kita tahu. Mereka (Israel) juga tahu. Mereka tahu mangsa sedang mati. Bukan serta merta. Tetapi dengan penderitaan berpanjangan selama berbulan-bulan, berminggu-minggu dan berhari-hari sebelum mati,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Dr. Mahathir berkata, semua yang menimpa rakyat Palestin adalah hasil kekejaman Israel sedangkan mereka sepatutnya tahu peritnya kelaparan kerana nenek moyang bangsanya pernah merasai betapa ngerinya penderitaan kelaparan perlahan-lahan.
Katanya, seorang manusia sepatutnya tidak mahu penderitaan sama ditanggung orang lain tetapi tidak difikirkan oleh Israel kerana mereka tidak langsung menunjukkan mempunyai perasaan.
“Mereka menimpakan penderitaan ini bukan kepada orang yang dahulunya melakukan kezaliman terhadap mereka sebaliknya melakukan terhadap bangsa yang pernah memberi perlindungan ketika mereka memerlukannya.
“Tidak sedikit pun rasa syukur. Seperti jelmaan syaitan, mereka membunuh dan membiarkan orang tidak berdosa mati kebuluran. Tidak ada walaupun secubit rasa kasihan. Mereka bukan manusia. Mereka adalah raksasa yang tidak peduli walaupun lapan bilion manusia di dunia mengutuk mereka.
“Sejarah dunia akan merakamkan perkara ini. Orang Israel adalah jelmaan syaitan,” katanya. – UTUSAN










